Permintaan buruh Malaysia kekal stabil

Pasaran buruh negara meningkat bagi suku pertama 2026 mencecah 9.23 juta jawatan – Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 14 Mei – Permintaan buruh Malaysia meningkat 1.8 peratus bagi suku pertama 2026 mencecah 9.23 juta jawatan berbanding tempoh sama tahun lalu, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

RINGKASAN BERITA AI
  • 97.9 peratus jawatan diisi, manakala 2.1 peratus masih kosong.
  • Sebanyak 32,700 jawatan baharu diwujudkan pada suku tersebut.
  • Perkhidmatan terus dominan dengan 53.3 peratus jawatan, diikuti pembuatan dan pembinaan.

Ketua Perangkawan, Datuk Sri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, meskipun krisis bekalan global, sektor ekonomi Malaysia kekal kukuh disokong langkah awal kerajaan mengimbangi ketidaktentuan yang meningkat seperti rasionalisasi subsidi bahan api.

“Daripada keseluruhan jawatan, 97.9 peratus telah diisi, manakala baki 2.1 peratus masih kosong.

“Di samping itu, sebanyak 32,700 jawatan baharu telah diwujudkan pada suku tahun itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua Perangkawan, Datuk Sri Dr Mohd Uzir Mahidin – Foto DOSM

Beliau berkata, jawatan diisi juga mencatatkan momentum peningkatan bagi tempoh tersebut dengan 1.8 peratus tahun ke tahun, merekodkan 9.03 juta jawatan, meningkat dari 8.87 juta pada suku pertama 2025.

”Peningkatan ini disokong oleh pertumbuhan positif tahun ke tahun merentasi hampir semua sektor ekonomi, dengan sektor perkhidmatan mendahului pada kadar 2.7 peratus, yang tertinggi antara semua sektor,” katanya.

Mengikut sektor, jelasnya perkhidmatan terus mendominasi jawatan diisi, menyumbang 53.3 peratus atau 4.82 juta jawatan diisi, diikuti pembuatan (26.7 peratus) dan pembinaan (13.9 peratus).

Datuk Sri Dr. Mohd Uzir berkata, pewujudan jawatan pula menunjukkan penurunan tahun ke tahun yang sederhana, iaitu sebanyak 1.5 peratus telah dicatatkan.

Beliau berkata, secara keseluruhan permintaan buruh di Malaysia mengekalkan pertumbuhan yang stabil untuk tiga bulan pertama tahun ini.