
KUALA LUMPUR, 14 Mei – Kecerdasan buatan (AI) dan transformasi digital bakal menjadi faktor utama yang menentukan kelangsungan perniagaan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
- Usahawan yang gagal menyesuaikan diri dengan teknologi dan pemasaran moden berisiko kehilangan relevansi dalam pasaran kompetitif.
- Penggunaan AI mesti dimanfaatkan secara telus dan bertanggungjawab terutama dalam penghasilan kandungan pemasaran.
- Kebolehlihatan jenama kini keutamaan kerana persaingan melibatkan pemain antarabangsa.
- Perkukuh jaringan strategik dan jalin kerjasama dengan syarikat besar untuk membuka peluang menembusi pasaran global.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif KNK Group, Prof Adam Richman berkata, usahawan yang gagal menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi serta strategi pemasaran moden berisiko tidak lagi relevan dalam pasaran kompetitif.
Menurut beliau, penggunaan AI tidak harus dilihat sebagai ancaman, sebaliknya perlu dimanfaatkan secara telus dan bertanggungjawab khususnya dalam penghasilan kandungan pemasaran.

“Usahawan yang menghasilkan kandungan menggunakan AI perlu kembali kepada matlamat asal iaitu bagaimana teknologi dimanfaatkan untuk memajukan negara.
“Kemajuan negara bukan terletak kepada kerajaan semata-mata, tetapi juga kepada usahawan yang membawa teknologi, idea baharu dan kemudahan kepada pengguna,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Seven Mega Growth Strategies 2026 di ibu negara, hari ini.
Prof Adam turut menegaskan aspek kebolehlihatan jenama kini menjadi keutamaan memandangkan persaingan bukan lagi tertumpu kepada pemain tempatan semata-mata, sebaliknya turut melibatkan syarikat gergasi antarabangsa.

Sementara itu, Pengerusi KNKV, Datuk Seri Dr Zurainah Musa berkata, usahawan perlu memperkukuh jaringan strategik serta berani menjalin kerjasama dengan syarikat besar bagi membuka peluang menembusi pasaran global.
Menurut beliau, Seven Mega Growth Strategies 2026 berperanan sebagai platform penting dalam membantu syarikat tempatan membina rangkaian serta hubungan strategik yang lebih kukuh.
Program Seven Mega Growth Strategies 2026 yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh disertai seramai 150 peserta membabitkan pemain industri, usahawan, tokoh korporat serta wakil diplomatik.

Program berkenaan bertujuan membincangkan strategi pertumbuhan perniagaan dan daya tahan usahawan dalam mendepani ketidaktentuan ekonomi global semasa.
Seven Mega Growth Strategies 2026 turut menampilkan sesi perkongsian berkaitan pemasaran strategik, pengembangan perniagaan, pengukuhan jenama, kerjasama antarabangsa serta kesiasiagaan undang-undang dalam perniagaan.