
KUALA LUMPUR, 5 Jun – Lebih 1,100 program yang dilaksanakan Yayasan Hasanah terus memberi manfaat kepada lebih empat juta rakyat Malaysia sepanjang sedekad penubuhannya sejak 2015 menerusi dana endowmen RM3 bilion daripada Khazanah Nasional Berhad.
- Program merangkumi pendidikan, pembangunan komuniti, alam sekitar dan biasiswa untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat di seluruh negara.
- Penerima daripada komuniti terpinggir diberi peluang dan sokongan untuk mengubah kehidupan dan keluar daripada kitaran kemiskinan.
- Yayasan memperkukuh tumpuan kepada golongan B40 dengan inisiatif baharu menangani cabaran kos sara hidup.
- Jangkaan melaksanakan sekurang-kurangnya 200 projek setahun bergantung kepada dana, sambil memperluas program berkaitan perubahan iklim dan alam sekitar.
Pengarah Urusan Yayasan Hasanah, Siti Kamariah Ahmad Subki berkata, program itu meliputi pendidikan, pembangunan komuniti, alam sekitar dan biasiswa bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat di seluruh negara.
“Pelbagai penerima manfaat terdiri termasuk individu daripada komuniti terpinggir di seluruh negara berjaya mengubah kehidupan mereka menerusi peluang dan sokongan yang diberikan.
“Apabila mereka diberi peluang dan sokongan yang sewajarnya, mereka mampu berjaya seperti orang lain sekali gus keluar daripada kitaran kemiskinan,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Laporan Yayasan Hasanah 2025.
Dalam pada itu, menurut Siti Kamariah yayasan tersebut akan memperkukuh tumpuan kepada golongan B40 pada tahun ini menerusi pelbagai inisiatif baharu bagi membantu mereka menghadapi cabaran kos sara hidup.
Usaha itu memberi penekanan kepada akses pendidikan, peluang pekerjaan dan peningkatan pendapatan secara mampan.
“Yayasan Hasanah dijangka terus melaksanakan sekurang-kurangnya 200 projek setiap tahun bergantung kepada keupayaan dana sedia ada termasuk sokongan tambahan daripada Kementerian Kewangan,” katanya lagi.
Selain pembangunan komuniti, Yayasan Hasanah turut memperluas program berkaitan alam sekitar dan perubahan iklim yang semakin memberi kesan kepada kehidupan serta sumber pendapatan masyarakat.