
KUALA LUMPUR, 5 Jun – Pemeteraian 15 kerjasama dan perjanjian strategik pada Persidangan Peralihan Tenaga 2026 (ETCon26) dijangka mempercepat pelaksanaan agenda peralihan tenaga Malaysia serta rantau ASEAN.
- Kerjasama strategik melibatkan tenaga boleh baharu, perdagangan elektrik rentas sempadan, pembangunan grid dan infrastruktur gas untuk menyokong peralihan tenaga.
- Projek termasuk solar terapung hibrid, solar dengan penyimpanan bateri dan pemasangan solar bumbung untuk mempercepat penggunaan tenaga bersih.
- Sokongan pemimpin negara mencerminkan komitmen kerajaan dalam mempercepat pelaksanaan agenda peralihan tenaga dan pembangunan kapasiti bakat tempatan.
Menurut Tenaga Nasional Berhad (TNB), kerjasama berkenaan melibatkan pelbagai sektor utama termasuk tenaga boleh baharu, perdagangan elektrik rentas sempadan, pembangunan grid, infrastruktur gas dan pembangunan kapasiti tenaga kerja.
“Antara inisiatif yang dimeterai ialah pembangunan projek solar terapung hidro hibrid, projek solar atas tanah yang dilengkapi sistem penyimpanan bateri, inisiatif tenaga boleh baharu rentas sempadan, pemasangan sistem solar bumbung, pembangunan infrastruktur gas, pemodenan grid serta program pembangunan kapasiti menerusi Energy Transition and Sustainability Academy (ETSA),” jelas TNB dalam satu kenyataan.
Menurut TNB, inisiatif tersebut bertujuan mempercepat penggunaan tenaga bersih dan boleh baharu, memperkukuh infrastruktur grid negara, memperluas pelaksanaan projek tenaga hijau rentas sempadan serta membangunkan bakat tempatan bagi menyokong aspirasi peralihan tenaga jangka panjang.
Pemeteraian perjanjian itu berlangsung bersempena ETCon26, konvensyen utama TNB yang menghimpunkan pemain industri, pembuat dasar dan rakan strategik dalam sektor tenaga.

Perjanjian berkenaan turut disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof.
TNB berkata, sokongan yang diberikan oleh kepimpinan tertinggi negara itu mencerminkan komitmen kukuh kerajaan untuk mempercepat pembangunan tenaga lestari dan memastikan agenda peralihan tenaga negara dilaksanakan secara berkesan.