
SAUDARA PENGARANG
- Pelaburan strategik membina ekosistem reka bentuk cip dan AI sebagai strategi jangka panjang untuk naikkan kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai semikonduktor.
- Sasaran melahirkan sekurang-kurangnya 10 syarikat cip tempatan yang berpotensi menjana hasil dan menyumbang besar kepada industri teknologi negara.
- Program latihan sasar 10,000 jurutera tempatan, membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dalam reka bentuk cip, AI, sains komputer dan keselamatan siber.
- Keberhasilan bergantung pada pembangunan bakat tempatan; gagal berisiko jadi pengguna teknologi sahaja, hilang nilai ekonomi dan kebergantungan pada tenaga asing.
Kerjasama strategik antara Malaysia dan Arm Holdings dilihat sebagai satu langkah besar dalam usaha negara memperkukuh kedudukan dalam industri semikonduktor dan teknologi tinggi global.
Perjanjian ini bukan sekadar melibatkan pemindahan teknologi, tetapi juga pelaburan besar kerajaan bagi membina ekosistem reka bentuk cip dan kecerdasan buatan (AI) di Malaysia.
Malaysia telah menandatangani kerjasama strategik dengan Arm Holdings melibatkan komitmen pelaburan sekitar US$250 juta (kira-kira RM1.1 bilion) yang akan dibayar secara berperingkat dalam tempoh 10 tahun bagi mendapatkan akses kepada teknologi, reka bentuk cip dan kepakaran ARM.
Pelaburan ini bukan bertujuan untuk keuntungan jangka pendek semata-mata, tetapi sebagai strategi jangka panjang untuk membawa Malaysia naik ke tahap lebih tinggi dalam rantaian nilai industri semikonduktor global.
Selama ini Malaysia terkenal dalam aktiviti pemasangan dan ujian cip, namun masih lemah dalam aspek reka bentuk cip dan pembangunan teknologi teras.
Malaysia tidak boleh bergantung selama-lamanya kepada model ekonomi pemasangan dan buruh kos sederhana jika mahu keluar daripada perangkap pendapatan sederhana. Sebab itu pembangunan industri reka bentuk cip dan teknologi tinggi menjadi semakin strategik dalam Rancangan Malaysia Ke-13.
Melalui kerjasama ini, Malaysia menyasarkan untuk melahirkan sekurang-kurangnya 10 syarikat cip tempatan dengan potensi pendapatan tahunan antara US$1.5 bilion hingga US$2 bilion setiap satu.
Jika sasaran ini berjaya dicapai, jumlah potensi hasil industri boleh mencecah sehingga US$20 bilion setahun pada masa depan. Kementerian Ekonomi pula menjangkakan pulangan pelaburan (Return On Investment – ROI) daripada kerjasama Malaysia–ARM dapat dicapai dalam tempoh 10 tahun.
Antara sasaran utama ialah meningkatkan nilai eksport sektor elektrik dan elektronik (E&E) kepada RM865.9 bilion menjelang tahun 2030 berbanding RM601.2 bilion pada tahun 2024. Nilai tambah sub-sektor E&E juga dijangka meningkat kepada RM157.2 bilion menjelang 2030 berbanding RM115.5 bilion pada tahun 2024.
Manfaat terbesar kepada rakyat ialah peluang pekerjaan berkemahiran tinggi. Kerjasama ini melibatkan sasaran melatih 10,000 jurutera tempatan dalam bidang reka bentuk cip dan semikonduktor.
Bagi pelajar universiti dan graduan muda, bidang seperti kejuruteraan elektronik, sains komputer, kecerdasan buatan (Artificial Intelligence-AI), analisis data, keselamatan siber dan sistem komputer dalaman (embedded systems) dijangka menjadi semakin bernilai dalam pasaran kerja masa depan.
Perkembangan industri semikonduktor dan ekonomi digital akan meningkatkan permintaan terhadap tenaga mahir yang mampu membangunkan teknologi, mengurus data serta mencipta sistem pintar yang digunakan dalam pelbagai sektor seperti kewangan, automotif, kesihatan dan telekomunikasi.
Selain peluang pekerjaan, usahawan tempatan juga boleh mendapat manfaat besar. Ekosistem semikonduktor dan teknologi memerlukan pelbagai sokongan industri seperti pembangunan perisian, automasi industri, servis teknikal, reka bentuk sistem, latihan profesional, logistik teknologi, penyelenggaraan peralatan dan penyelesaian berasaskan AI.
Keperluan ini membuka ruang luas kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat tempatan untuk menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan teknologi global.
Namun begitu, cabaran sebenar bukan sekadar membawa masuk pelaburan asing, tetapi memastikan rakyat Malaysia benar-benar mempunyai kemahiran untuk merebut peluang tersebut.
Jika pembangunan bakat tempatan gagal dipercepatkan, peluang pekerjaan berkualiti tinggi ini mungkin lebih banyak diisi oleh tenaga kerja luar.
Sebab itu, kejayaan sebenar kerjasama Malaysia–ARM bukan hanya diukur melalui jumlah pelaburan RM1.1 bilion, tetapi sejauh mana ia mampu meningkatkan pendapatan rakyat, melahirkan syarikat teknologi tempatan dan menjadikan Malaysia bukan sekadar pengguna teknologi, tetapi pencipta teknologi masa depan.
Jika rakyat Malaysia gagal meningkatkan kemahiran dan merebut peluang yang wujud, Malaysia berisiko menjadi sekadar lokasi pelaburan teknologi yang bergantung kepada tenaga mahir asing, bukannya negara yang benar-benar membangunkan bakat dan inovasi tempatan.
Jika keadaan ini berlaku, sebahagian besar nilai ekonomi berisiko mengalir keluar daripada negara melalui gaji tinggi, kepakaran dan pemilikan teknologi yang dikuasai pihak luar.
Malaysia mungkin berjaya menarik pelaburan berbilion ringgit dan membina kilang serta pusat teknologi moden, tetapi rakyat Malaysia hanya kekal dalam pekerjaan berkemahiran rendah atau sederhana tanpa penguasaan teknologi strategik.
Dalam jangka panjang, keadaan ini boleh menghadkan pertumbuhan pendapatan rakyat, memperlahankan pembangunan syarikat teknologi tempatan dan menyebabkan Malaysia terus bergantung kepada teknologi serta kepakaran asing.
Sebab itu pembangunan bakat tempatan perlu bergerak seiring dengan kemasukan pelaburan asing supaya rakyat bukan sekadar menjadi pengguna atau pekerja sokongan, tetapi turut menjadi pencipta teknologi, pemilik inovasi dan pemain utama dalam ekonomi digital masa depan.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Ahmad Yani Ismail
Pensyarah
Fakulti Ekonomi, Perakaunan dan Pengurusan
Universiti Islam Selangor
E-mel: ahmadyani@uis.edu.my