Saksi orang awam, antara bukti dan empati

Gambar hiasan//RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Rakaman awam membantu siasatan namun perlu had etika; tidak semua bahan fakta wajar dikongsi.
  • Penyebaran kandungan sensitif menyebabkan trauma sekunder kepada keluarga dan orang awam, menjejaskan kesihatan mental memerlukan bantuan profesional.
  • Budaya klik dan kongsi mencerminkan krisis empati; perhatian dan kemarahan sering mengatasi ihsan terhadap mangsa.
  • Setiap pengguna mesti jadi gatekeeper digital: tanya "perlu kongsi?", fikir kesakitan mangsa, dan didik budaya ihsan melalui pendidikan serta piawaian media.

Dalam era digital yang serba pantas, masyarakat bukan lagi sekadar pengguna maklumat, tetapi turut berperanan sebagai pemilik dan penyebar kandungan.

Fenomena ini seolah-olah membenarkan setiap individu menjadi “wartawan segera” yang merakam, memuat naik dan menyebarkan pelbagai peristiwa termasuk kemalangan ngeri, insiden jenayah, bencana alam dan kematian.

Dari satu sudut, perkembangan ini memberi nilai besar kepada proses dokumentasi dan pembuktian. Namun, dari sudut keinsanan, ia membuka ruang kepada krisis etika yang membimbangkan.

Garis Halus Antara Bukti dan Video Tular

Realiti baharu ini memperlihatkan bagaimana rakaman kamera pemuka (dashcam), telefon pintar dan kamera awam menjadi sumber utama dalam mendedahkan sesuatu kejadian. Dalam konteks tertentu, rakaman ini membantu pihak berkuasa menjalankan siasatan dengan lebih telus dan cepat. Ia menjadi bukti penting!

Namun, persoalannya, adakah semua yang dirakam wajar dikongsi secara terbuka tanpa batas? Di sinilah wujudnya garis halus antara keperluan bukti dan kecenderungan perkongsian tular.

Tidak semua kandungan yang sah dari sudut fakta, sah dari sudut etika untuk dikongsi. Video yang memaparkan mangsa dalam keadaan parah, mengerikan atau mengaibkan bukan sekadar maklumat dan bukti, malah ia adalah peristiwa manusia yang penuh maruah.

Sedangkan membaca perincian kejadian atau kronologinya pun boleh membuat kita gementar dan cemas. Apatah lagi menonton video yang mengerikan.

Trauma Sekunder

Lebih membimbangkan, penyebaran kandungan sensitif ini memberi kesan psikologi yang mendalam, bukan sahaja kepada keluarga mangsa tetapi juga kepada masyarakat umum.

Konsep trauma sekunder menjelaskan bagaimana individu yang tidak terlibat secara langsung boleh turut mengalami tekanan emosi dan kebimbangan apabila terdedah kepada imej atau video yang mengganggu atau hanya membaca dan mendengar kisah trauma orang lain.

Bayangkan ahli keluarga mangsa yang pertama kali mengetahui tragedi menimpa orang tersayang melalui video viral yang tidak berperikemanusiaan, jelas memaparkan wajah dan nyerinya kejadian.

Ini bukan sahaja menyakitkan dan menganggu emosi tetapi juga menafikan hak mereka untuk menerima berita dengan penuh adab dan empati.

Bukan sekadar orang terdekat, malah trauma menyaksikan video-video ini juga memberi kesan mendalam kepada orang awam. Kesan trauma sekunder ini boleh mempengaruhi psikologi, emosi, kognitif, spiritual, fizikal dan tingkahlaku seseorang.

Biasanya individu yang mengalami trauma sekunder akan mengalami mimpi ngeri, susah tidur, panik dan merasa bersalah kerana tidak menolong secukupnya, mula menyendiri dan sebagainya.

Akhirnya impikasi ini akan menjejaskan kesihatan mental dan kualiti hidup, kerana trauma sekunder tidak hilang dengan mudah, malah memerlukan bantuan professional seperti kaunselor, pegawai psikologi klinikal dan pegawai psikiatri.

Krisis Empati dalam Budaya Klik dan Kongsi

Fenomena ini juga mencerminkan krisis empati yang semakin meruncing dalam budaya media sosial.

Ya! Bukan kerana keghairahan untuk menjadi yang terawal berkongsi atau mendapatkan perhatian melalui jumlah tontonan dan perkongsian, tapi untuk menarik perhatian pihak berkuasa, individua atau kumpulan tertentu ditambah hashtag (#) dan pautan tertentu.

Namun menyedihkan apabila nilai ihsan sering diketepikan. Kandungan tragis dijadikan bahan perhatian umum. Ini menimbulkan persoalan besar tentang bagaimana masyarakat menilai batas antara kebebasan berkongsi dan tanggungjawab moral.

Marah dan kesal, antara yang sering menjadi punca lapisan pertama perkongsian. Misalnya, kerana kesal dengan kejadian kemalangan akibat kecuaian yang berulang kali dan kerap dilaporkan, kita menjadi marah kepada pemandu, mahukan ‘pesalah’ segera didakwa dan dihukum, maka video kemalangan ngeri dikongsi.

Dalam masa sama emosi yang pelbagai bercampur aduk. Hantaran diulang kongsi, ruang komen mula dibanjiri nada emosi dan kita terlupa yang menonton dan membacanya siapa? Yang kita kongsi video mangsa atau video suspek? Dan yang remuk jiwa dan bersedih pula siapa?

Peranan Individu sebagai Gatekeeper Digital

Dalam kerangka komunikasi dan penyebaran kandungan, isu ini tidak boleh dipandang remeh. Setiap individu yang menjadi mangsa dalam video viral adalah ‘seseorang kepada seseorang yang lain’; anak, ibu, ayah, pasangan atau sahabat, malah mungkin jiran tetangga atau hubungan pelajar – guru.

Penyebaran tanpa kawalan bukan sahaja mencederakan emosi individu tersebut, tetapi turut mengganggu proses menerima ketentuan Ilahi dan pemulihan emosi keluarga dan mereka yang terkesan. Justeru, peranan individu sebagai gatekeeper digital menjadi sangat penting.

Setiap pengguna media sosial perlu membuat pertimbangan rasional sebelum menekan butang kongsi. Soalan seperti Adakah ini perlu? Adakah ini akan menyakitkan sesiapa? Bagaimana jika ini berlaku kepadaku? wajar menjadi panduan asas dalam membuat keputusan.

Membina Budaya Ihsan dalam Ekosistem Media

Dari sudut undang-undang, Malaysia mempunyai pelbagai peruntukan yang boleh digunakan untuk mengawal penyebaran kandungan tidak beretika, termasuk yang menyentuh privasi dan ketenteraman awam. Namun, undang-undang sahaja tidak mencukupi jika tidak disokong oleh kesedaran sosial yang tinggi.

Etika tidak boleh dipaksa sepenuhnya melalui hukuman. Ia perlu dibina melalui nilai, didikan dan kesedaran kolektif masyarakat.

Oleh itu, usaha membina budaya ihsan dalam ekosistem media perlu diperkukuh. Institusi pendidikan, organisasi media dan platform digital harus memainkan peranan aktif dalam mendidik masyarakat tentang literasi media dan etika berkongsi kandungan.

Kempen kesedaran perlu menekankan bahawa tidak semua yang boleh dikongsi, wajar dikongsi. Dalam masa yang sama, media arus perdana perlu terus menunjukkan contoh terbaik dengan menapis dan memperhalusi kandungan sebelum disiarkan.

Kita harus kembali kepada nilai asas kemanusiaan; ihsan dan belas kasihan. Dalam dunia yang semakin terhubung secara digital, kepekaan terhadap emosi dan maruah orang lain tidak seharusnya semakin pudar. Sebaliknya, ia perlu disuburkan.

Teknologi seharusnya mendekatkan manusia dengan nilai kemanusiaan, bukan menjauhkan. Dalam setiap klik dan kongsi, kita bukan sekadar menyebarkan maklumat, malah kita sedang membentuk budaya. Sama ada budaya itu berteraskan empati atau eksploitasi, ia bermula daripada pilihan kecil yang kita buat setiap hari.

Rakyat Malaysia, tolonglah! Bersimpatilah.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Rahmahtunnisah Sailin
Pensyarah Komunikasi dan Media,
Fakulti Sains Sosial
Universiti Islam Selangor
E-mel: rahmahtunnisah@uis.edu.my


Marhaini Abdul Ghani
Pensyarah Psikologi Industri dan Organisasi
Fakulti Ekonomi, Perakaunan Dan Pengurusan
Universiti Islam Selangor
E-mel: marhaini@uis.edu.my