Bagaimana rakyat boleh ambil peluang daripada kerjasama Malaysia–ARM

Gambar hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Program melatih 10,000 jurutera dalam reka bentuk cip membuka peluang pembangunan bakat teknikal tempatan.
  • Graduan harus menguasai kejuruteraan elektronik, sains komputer, AI, data dan keselamatan siber untuk akses pekerjaan bernilai tinggi.
  • PKS dan usahawan boleh sertai rantaian nilai teknologi melalui perisian, automasi, logistik dan servis teknikal.
  • Tanpa peningkatan kemahiran, peluang pekerjaan berteknologi tinggi akan diisi pekerja asing; rakyat perlu beralih dari pengguna kepada pencipta.

Kerjasama strategik antara Malaysia dan Arm Holdings bukan sekadar projek teknologi berskala besar. Ia berpotensi memberi kesan langsung kepada peluang pekerjaan, pendapatan rakyat dan masa depan ekonomi negara.

Malaysia sebenarnya sudah mempunyai asas yang kukuh dalam industri semikonduktor. Negara kini mengendalikan kira-kira 13% aktiviti pemasangan, ujian dan pembungkusan cip dunia.

Industri elektrik dan elektronik (E&E) pula menyumbang sekitar 40% eksport negara dan hampir 5.8% kepada KDNK Malaysia.

Namun selama ini, Malaysia lebih banyak terlibat dalam aktiviti “back-end” seperti pemasangan dan pengujian cip. Kerjasama dengan ARM membuka peluang untuk Malaysia bergerak ke tahap lebih tinggi iaitu reka bentuk cip dan pembangunan teknologi bernilai tinggi.

10,000 Jurutera Tempatan Bakal Dilatih

Antara angka paling penting dalam kerjasama ini ialah sasaran melatih 10,000 jurutera tempatan dalam bidang reka bentuk litar bersepadu (IC design) dan semikonduktor dalam tempoh 10 tahun. Ini menunjukkan bahawa peluang terbesar sebenarnya terletak pada pembangunan bakat rakyat Malaysia sendiri.

Bagi pelajar universiti dan graduan muda, bidang seperti kejuruteraan elektronik, sains komputer, kecerdasan buatan (AI), analisis data, keselamatan siber dan pembangunan sistem computer dalaman (embedded systems) dijangka menjadi semakin bernilai dalam pasaran kerja masa depan.

Perkembangan industri semikonduktor dan ekonomi digital akan meningkatkan permintaan terhadap tenaga mahir yang mampu membangunkan teknologi, mengurus data serta mencipta sistem pintar yang digunakan dalam pelbagai sektor seperti kewangan, automotif, kesihatan dan telekomunikasi.

Mereka yang menguasai kemahiran ini bukan sahaja mempunyai peluang pekerjaan yang lebih luas, malah berpotensi menikmati pendapatan yang lebih tinggi selaras dengan pertumbuhan industri teknologi global.

Jika rakyat mengambil peluang meningkatkan kemahiran sekarang, mereka boleh menjadi sebahagian daripada tenaga kerja berpendapatan tinggi dalam ekonomi digital baharu.

Peluang Pekerjaan Bernilai Tinggi Semakin Berkembang

Ledakan pelaburan teknologi di Malaysia juga sedang mempercepat permintaan terhadap tenaga kerja digital. Sebagai contoh, pelaburan pusat data dan kecerdasan buatan (Artificial Intelligence) oleh syarikat global seperti Microsoft dijangka menjana lebih 37,000 pekerjaan dan menghasilkan sekitar USD10.9 bilion nilai ekonomi dalam tempoh empat tahun.

Ini menunjukkan industri teknologi bukan lagi sektor kecil, tetapi sedang menjadi pemacu utama ekonomi negara. Masalahnya, ramai rakyat masih belum bersedia dari sudut kemahiran.

Walaupun pelaburan masuk semakin besar, banyak laporan industri memberi amaran bahawa Malaysia masih berdepan kekurangan tenaga mahir teknologi tinggi.

Jika rakyat tidak meningkatkan kemahiran, peluang pekerjaan berkualiti tinggi ini akhirnya akan diisi oleh tenaga kerja luar. Ini realiti yang perlu difahami.

Dalam ekonomi moden, persaingan bukan lagi hanya antara negara, tetapi antara bakat manusia.

Usahawan Tempatan Juga Boleh Mendapat Manfaat

Kerjasama ini bukan hanya untuk jurutera atau syarikat besar. Ekosistem semikonduktor dan teknologi memerlukan pelbagai sokongan industri seperti pembangunan perisian, automasi industri, servis teknikal, reka bentuk sistem, latihan profesional, logistik teknologi, penyelenggaraan peralatan dan penyelesaian berasaskan kecerdasan buatan (AI).

Keperluan ini membuka peluang luas bukan sahaja kepada syarikat besar, tetapi juga kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), usahawan tempatan serta tenaga profesional untuk terlibat dalam rantaian nilai teknologi yang sedang berkembang pesat di Malaysia.

Ini membuka ruang kepada PKS dan usahawan tempatan untuk masuk ke dalam rantaian bekalan teknologi. Malaysia juga mensasarkan untuk melahirkan sekurang-kurangnya 10 syarikat cip tempatan dengan potensi pendapatan tahunan antara USD1.5 hingga USD2 bilion setiap satu.

Rakyat Perlu Berubah daripada Pengguna Kepada Pencipta Teknologi

Selama ini ramai hanya menggunakan teknologi yang dibangunkan negara lain. Tetapi ekonomi masa depan memerlukan rakyat menjadi pencipta teknologi, bukan sekadar pengguna. Negara yang berjaya dalam industri teknologi bukan semata-mata kerana mempunyai pelaburan asing, tetapi kerana mempunyai rakyat yang mampu mencipta inovasi, membangunkan syarikat dan menguasai ilmu teknologi strategik.
Kerjasama Malaysia–ARM boleh menjadi peluang besar kepada negara. Tetapi manfaat sebenar hanya akan berlaku jika rakyat sendiri bersedia meningkatkan kemahiran, mengubah mindset dan berani memasuki ekonomi teknologi bernilai tinggi.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

AHMAD YANI ISMAIL
Ahmad Yani Ismail
Pensyarah
Fakulti Ekonomi, Perakaunan dan Pengurusan
Universiti Islam Selangor
E-mel: ahmadyani@uis.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.