
SAUDARA PENGARANG
- Tekanan kerja meningkat menyebabkan keletihan emosi yang meruntuhkan keyakinan dan semangat seseorang.
- Kepulangan ke rumah tidak menjamin keselamatan jika body shaming dan penghinaan merosakkan harga diri.
- Budaya mengkritik penampilan diperkukuh oleh negativity bias, menenggelamkan sumbangan serta kebaikan individu.
- Mereka yang menghina sering memindahkan konflik sendiri; kelembutan ialah tanda kekuatan yang perlu dijaga.
Ada manusia yang kelihatan tenang di luar, tetapi sebenarnya sedang bertahan dengan luka daripada kata-kata orang sekeliling.
Di rumah, di tempat kerja, di ruang mesyuarat, bahkan ketika melayari media sosial, masih ada manusia yang terlalu mudah melontarkan komen, sindiran dan pandangan yang melelahkan emosi orang lain.
Ada yang menganggapnya sekadar gurauan, cara mendidik atau hak untuk bersuara. Namun tanpa disedari, kata-kata yang keluar hanya beberapa saat daripada mulut seseorang boleh tinggal bertahun-tahun dalam ingatan orang yang mendengarnya.
Hakikatnya, tidak semua luka meninggalkan kesan pada tubuh. Ada luka yang perlahan-lahan meruntuhkan keyakinan diri, mematahkan semangat dan membuat seseorang mula mempersoalkan nilainya sebagai manusia.
Ada pekerja yang hilang keyakinan terhadap kebolehannya sendiri. Ada anak yang semakin diam kerana sering dibandingkan. Ada pasangan yang masih mampu tersenyum di hadapan orang ramai, tetapi diam-diam terluka setiap kali melihat dirinya di cermin.
Dunia yang Semakin Penat
Kita hidup dalam dunia yang semakin penat. Kos sara hidup meningkat, tekanan kerja bertambah dan hubungan sesama manusia semakin rapuh. Dalam keadaan emosi yang tidak stabil, ramai mula melepaskan tekanan mereka kepada orang lain tanpa menyedari kesannya.
Di tempat kerja misalnya, ada pekerja yang datang awal pagi dengan seribu beban dalam fikiran. Mereka memikirkan ibu bapa yang sakit, anak-anak yang perlu diurus, hutang yang belum selesai dan tekanan kehidupan yang tidak pernah berhenti.
Namun sebaik melangkah masuk ke pejabat, mereka berdepan pula dengan tekanan kerja yang tidak pernah habis. Tugasan datang bertalu-talu, arahan berubah-ubah dan semuanya perlu disiapkan dalam masa yang singkat.
Lama-kelamaan, tekanan seperti itu melelahkan emosi dan membuat seseorang mula merasa dirinya tidak cukup baik.
Menurut Wellness at Work Report 2024, hampir 67 peratus pekerja di Malaysia dilaporkan mengalami keletihan emosi atau burnout akibat tekanan kerja dan ketidakseimbangan hidup.
Angka ini menunjukkan bahawa ramai manusia sebenarnya sedang bertahan dalam diam walaupun masih mampu tersenyum dan menjalani rutin harian seperti biasa.
Bila Rumah Tidak Lagi Menjadi Tempat Teduh
Yang lebih menyedihkan, selepas penat berdepan tekanan di tempat kerja, ada pula manusia yang pulang ke rumah dan menerima luka yang lain. Tubuh dihina, wajah dipersendakan dan keletihan pasangan tidak dipedulikan.
Bayangkan seorang wanita yang bangun awal pagi memikirkan anak-anak, mengurus ibu yang semakin uzur, bekerja dan cuba bertahan menjadi manusia yang kuat setiap hari. Namun di hujung segala keletihan itu, dia masih dipandang rendah hanya kerana bentuk tubuhnya berubah.
Dalam ilmu psikologi, penghinaan terhadap tubuh seseorang dikenali sebagai body shaming. Ia bukan sekadar gurauan. Ia boleh memberi kesan terhadap harga diri, imej diri dan kestabilan emosi seseorang.
Hakikatnya, tubuh manusia membawa cerita yang tidak semua orang mampu melihat. Ada yang berubah kerana melahirkan anak, terlalu penat menjaga keluarga atau sedang bergelut dengan tekanan hidup yang panjang. Tubuh manusia berubah apabila hidup juga sedang berubah.
Apabila Penampilan Menjadi Sasaran
Namun masalah ini sebenarnya lebih luas daripada sekadar body shaming. Hari ini, masyarakat semakin berdepan dengan budaya penghinaan penampilan, iaitu kecenderungan mengkritik rupa paras, cara berpakaian, bentuk wajah, warna kulit, fesyen tudung atau apa sahaja yang tidak memenuhi jangkaan orang lain.
Kita sering melihat bagaimana perhatian ramai boleh beralih daripada perkara yang lebih besar kepada sesuatu yang sangat kecil.
Kadangkala, sebuah gambar yang dikongsi untuk menyampaikan ilmu, maklumat atau mesej yang bermanfaat akhirnya menjadi perdebatan hanya kerana penampilan individu yang terdapat di dalamnya.
Apa yang sepatutnya menjadi fokus utama tenggelam di sebalik komen dan kritikan yang tidak berkaitan. Persoalannya, mengapa manusia begitu mudah melihat kekurangan kecil berbanding menghargai nilai yang lebih besar?
Dalam psikologi sosial, terdapat kecenderungan yang dikenali sebagai negativity bias, iaitu kecenderungan manusia memberi perhatian yang lebih besar kepada kelemahan berbanding kebaikan. Akibatnya, satu kekurangan kecil mampu menenggelamkan seribu usaha, sumbangan dan kebaikan yang telah dilakukan seseorang.
Cermin dan Refleksi Diri
Satu kisah, seorang lelaki yang marah melihat wajahnya sendiri di cermin. Dia menyalahkan cermin kerana memantulkan wajah yang kusut dan tidak tenang.
Semakin dia marah kepada cermin itu, semakin jelas wajahnya sendiri yang kelihatan penuh tekanan. Hakikatnya, cermin hanya memantulkan apa yang berada di hadapannya.
Begitulah juga manusia. Kadangkala orang yang terlalu mudah menghina orang lain sebenarnya sedang memantulkan konflik yang wujud dalam dirinya sendiri.
Keadaan ini dikenali sebagai projection, iaitu apabila seseorang memindahkan tekanan, rasa tidak puas hati atau konflik emosinya kepada orang lain melalui kata-kata dan tingkah laku.
Ada individu yang gemar mengkritik kerana kritikan membuatkan mereka merasa lebih baik atau lebih bernilai. Ada juga yang terlalu fokus mencari kelemahan orang lain kerana mereka sendiri belum berdamai dengan kelemahan diri sendiri.
Sebab itu tidak semua manusia yang kelihatan keras itu benar-benar kuat. Ada yang sebenarnya sangat rapuh di dalam.
Kelembutan yang Semakin Hilang
Masyarakat hari ini terlalu sibuk mengejar kejayaan luaran sehingga perlahan-lahan lupa mendidik kelembutan dalaman. Kita belajar cara menjadi kaya, meningkatkan prestasi dan mencapai kedudukan yang tinggi, tetapi jarang sekali diajar bagaimana mahu menjaga hati manusia.
Hakikatnya, manusia yang benar-benar matang bukanlah mereka yang paling kuat menghukum, tetapi mereka yang masih mampu menjaga lidahnya walaupun dirinya sendiri sedang terluka.
Dalam dunia yang semakin keras ini, kelembutan bukan tanda kelemahan. Sebaliknya, kelembutan ialah tanda kekuatan yang lahir daripada hati yang memahami bahawa setiap manusia sedang berjuang dengan kisah yang tidak terlihat.
Doa untuk Hati yang Sedang Bertahan
“Ya Allah, lembutkanlah hati kami sebelum lidah kami melukakan orang lain. Jika ada jiwa yang sedang bertahan dalam diam kerana kata-kata manusia, peliharalah hati mereka daripada membenci diri sendiri.
“Ajarkan kami untuk melihat manusia dengan rahmat, bukan dengan penghinaan. Jika ada manusia yang sedang sakit emosinya lalu melukakan orang lain tanpa sedar, sembuhkanlah luka dalam dirinya agar tidak terus berpindah menjadi luka pada hati orang lain.”
Semoga sebelum manusia melontarkan kata yang melukakan, hati mereka terlebih dahulu belajar melihat dirinya sendiri di hadapan cermin kehidupan. Kerana mungkin yang paling memerlukan penyembuhan bukan orang yang dihina, tetapi luka yang selama ini tersembunyi di dalam diri mereka sendiri.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Nor Rosmawati Abdul Karim
Pensyarah, Jabatan Pengurusan dan Perniagaan
Fakulti Ekonomi, Perakauanan dan Pengurusan
Universiti Islam Selangor
E-mel: norrosmawati@uis.edu.my