fb fb fb fb fb

Pilihan raya Sri Lanka: Dissanayake dijangka menang besar

Presiden Sri Lanka, Anura Kumara Dissanayake /Foto REUTERS

COLOMBO, 14 November-Rakyat Sri Lanka memulakan pengundian pada Khamis dalam pilihan raya parlimen mengejut, dengan parti Presiden baharu yang berhaluan kiri, Anura Kumara Dissanayake, dijangka memperoleh majoriti besar untuk melaksanakan reformasi ekonomi.

Pemimpin berusia 55 tahun itu berharap untuk menguasai dua pertiga daripada 225 kerusi dalam badan perundangan bagi meneruskan reformasi selepas krisis ekonomi negara pada tahun 2022, yang menyaksikan bekas presiden Gotabaya Rajapaksa disingkirkan.

Dissanayake mengambil alih kuasa selepas memenangi pilihan raya September dengan janji untuk memerangi rasuah dan memulihkan aset negara yang dicuri.

Tempat mengundi di pulau Asia Selatan itu akan ditutup pada pukul 4:00 petang waktu tempatan dengan seramai 17.1 juta penduduk memilih 8,800 calon selepas kempen selama tujuh minggu yang dipuji oleh pemerhati pilihan raya sebagai salah satu yang paling aman di negara itu.

Pegawai pilihan raya negara itu, memaklumkan bahawa lebih 80,000 anggota polis disokong oleh dron pemantauan telah dikerahkan di lebih 13,000 tempat mengundi di seluruh negara.

Parti JVP pimpinan Dissanayake, atau Barisan Pembebasan Rakyat, merupakan komponen utama dalam gabungan National People's Power (NPP) yang dianggotai profesional yang berhasrat membentuk kerajaan baharu.

Dissanayake telah menjadi ahli parlimen selama hampir 25 tahun dan pernah berkhidmat sebagai menteri pertanian dalam tempoh singkat, tetapi beliau menjauhkan diri daripada ahli politik yang dituduh menyebabkan krisis ekonomi terburuk di negara itu dua tahun lalu.

Parti JVP pernah mengetuai dua pemberontakan pada 1971 dan 1987 yang mengakibatkan sekurang-kurangnya 80,000 kematian, namun Dissanayake mengambil alih kuasa secara aman dalam pilihan raya pada 21 September.

Meskipun sebelum ini berjanji untuk merundingkan semula pakej bantuan kontroversi bernilai AS$2.9 bilion daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang diperoleh pendahulunya Ranil Wickremesinghe, beliau memilih untuk mengekalkan perjanjian dengan pemberi pinjaman antarabangsa itu.

Lobi sektor swasta utama negara, Dewan Perniagaan Ceylon (CCC), secara tidak langsung menyokong Dissanayake dan menjangkakan beliau akan meneruskan reformasi.

“Meneruskan reformasi dapat menggalakkan keyakinan pelabur dan disiplin fiskal, membina asas untuk pertumbuhan mampan,” kata Setiausaha CCC, Bhuwanekabahu Perera, kepada AFP menjelang pengundian.

Beliau berkata pendekatan Dissanayake terhadap tadbir urus "mungkin cenderung kepada model sosialis-demokratik seimbang yang mengakui realiti pasaran."

Delegasi IMF dijadual tiba di Colombo pada Khamis untuk menilai kemajuan ekonomi sebelum melepaskan ansuran seterusnya sebanyak AS$330 juta daripada pinjaman bantuan tersebut.

Ketua pembangkang, Sajith Premadasa, yang berkempen untuk menyertai kerajaan gabungan, berikrar dalam perhimpunan kempen terakhirnya bahawa beliau akan "mendesak" Dissanayake untuk menunaikan janji pemotongan cukai.-AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD