fb fb fb fb fb

Kakitangan PBB warga India maut dilanggar Israel

Asap berkepul-kepul semasa serangan Israel di timur Rafah pada 13 Mei lalu/AFP

GENEVA, 15 Mei- Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengesahkan pihaknya telah menghantar pemakluman kepada Israel mengenai insiden kenderaannya yang dilanggar tentera zionis di selatan Gaza hingga membunuh seorang kakitangannya dari India pada Isnin lalu.

Kematian mangsa, Kolonel Waibhav Kale merupakan korban pertama melibatkan anggota PBB di Palestin sejak perang bermula lebih tujuh bulan lalu pada 7 Oktober tahun lepas.

Dalam kejadian itu, seorang lagi kakitangan PBB turut mengalami kecederaan.

"Kami sangat sedih atas kehilangan Kolonel Waibhav Kale, yang bertugas dalam Jabatan Keselamatan dan Keamanan PBB (DSS) di Gaza.

"Ucapan takziah kami sedalam-dalamnya bersama keluarga Kale dalam masa yang sukar ini," menurut misi India untuk PBB di New York menerusi platform X.

Menurut jurucakap PBB, Rolando Gomez, kenderaan mangsa telah dilanggar zionis ketika dalam perjalanan ke Hospital Eropah di Rafah.

Gomez berkata, semua perjalanan konvoi PBB di Palestin telah dimaklumkan kepada Israel terlebih dahulu, malah setiap kenderaan PBB mempunyai logo pertubuhan yang jelas.

"Kami telah memaklumkan kepada Israel mengenai serangan pada pagi Isnin lalu (bahawa) ia adalah kenderaan PBB yang ditanda dengan jelas.

"Ini memberi gambaran nyata bahawa tiada tempat yang selamat di Gaza ketika ini," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres menggesa siasatan penuh dijalankan, sambil menegaskan serangan yang menyasarkan pekerja kemanusian harus ditamatkan.

"Sudah tentu kami mahukan akauntabiliti. Ini adalah matlamat utama penyiasatan ini. Pekerja kemanusiaan antarabangsa bukan sasaran, jadi serangan sedemikian mesti ditamatkan," katanya.

Dalam pada itu, sekutu utama Israel, Amerika Syarikat turut menyokong gesaan untuk siasatan dengan jurucakap Jabatan Negara, Vedant Patel menyifatkan serangan terbabit sebagai "sangat mengganggu."

"PBB dan pekerja kemanusiaan mesti dilindungi supaya mereka dapat meneruskan tanggungjawab menyelamatkan nyawa. (Justeru) kami menyertai panggilan untuk siasatan penuh terhadap kejadian ini," kata Patel kepada pemberita di Washington. -AFP

SITI AISHAH MD ISA