WPKL dominasi tenis SUKMA 2026 dengan empat emas

Foto RTM

PETALING JAYA, 23 Ogos – Kontinjen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) mendominasi saingan tenis pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 apabila meraih empat daripada lima pingat emas yang dipertandingkan hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lima acara dipertandingkan: perseorangan lelaki, perseorangan wanita, beregu lelaki, beregu wanita, beregu campuran.
  • Darrshan Suresh Kumar dinobat juara perseorangan lelaki selepas Gareth Lim Hao Zhe terpaksa menarik diri akibat kecederaan buku lali.
  • Shihomi Leong Lin Xuan (Perak) menang perseorangan wanita selepas lawan, Anja Samia Nayar, tercedera dan menarik diri.
  • Keputusan beregu: Darrshan/Imran tewaskan Selangor 6-2, 6-2; Daniella/Nao menewaskan Perak 7-5, 7-5; Imran/Daania kalahkan Sarawak 6-2, 6-4.

Lima acara dipertandingkan membabitkan perseorangan lelaki, perseorangan wanita, beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran.

Dalam acara perseorangan lelaki, Darrshan Suresh Kumar dari WPKL muncul juara selepas lawannya, Gareth Lim Hao Zhe yang juga mewakili WPKL, terpaksa menarik diri akibat kecederaan buku lali selepas terjatuh ketika perlawanan memasuki set kedua.

Pingat emas perseorangan wanita pula menjadi milik Shihomi Leong Lin Xuan dari Perak selepas lawannya, Anja Samia Nayar dari Terengganu, terpaksa menarik diri akibat kecederaan ketika perlawanan berlangsung.

Sementara itu, WPKL menguasai acara beregu lelaki menerusi gandingan Darrshan Suresh Kumar dan Imran Daniel Abd Hazli yang menewaskan pasangan Selangor dengan keputusan 6-2, 6-2.

Gandingan Daniella Abd Hazli dan Nao Phang Ziyi turut menyumbang emas kepada WPKL dalam acara beregu wanita selepas mencatat kemenangan sengit 7-5, 7-5 ke atas pasangan dari Perak.

Dalam acara beregu campuran, Imran Daniel Abd Hazli dan Daania Daniella Abd Hazli melengkapkan penguasaan WPKL apabila menewaskan pasangan Sarawak dengan keputusan 6-2, 6-4.

Secara keseluruhan, WPKL muncul kontinjen paling cemerlang dalam saingan tenis SUKMA Selangor 2026 dengan kutipan empat pingat emas, manakala satu lagi emas menjadi milik Perak menerusi acara perseorangan wanita.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.