
SHAH ALAM, 23 Ogos – Kontinjen Sabah muncul pasukan paling cemerlang dalam disiplin wushu sanda pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 selepas meraih dua daripada lapan pingat emas yang dipertandingkan pada hari terakhir saingan di Pusat Konvensyen IDCC, hari ini.
- Amirah Sofea Azlan sumbang emas kategori wanita 48kg buat Sabah.
- Fyenlly Himon raih emas kategori lelaki 52kg untuk Sabah.
- Sabah turut mengumpul tiga pingat gangsa dalam acara wushu sanda.
Dua emas Sabah disumbangkan Amirah Sofea Azlan dalam kategori 48 kilogram (kg) wanita dan Fyenlly Himon bagi kategori 52kg lelaki, selain kontinjen itu turut mengumpul tiga pingat gangsa.
Saingan wushu sanda melabuhkan tirainya dengan lapan pingat emas dipertandingkan membabitkan tiga kategori wanita dan lima kategori lelaki.
Baki enam pingat emas diagihkan kepada enam kontinjen berbeza iaitu Wilayah Persekutuan, Selangor, Terengganu, Johor, Pulau Pinang dan Perak.
Dalam kategori wanita, Nur Fatimah Abdullah menghadiahkan pingat emas kepada Wilayah Persekutuan dalam acara 45kg selepas menewaskan Toh Wee Huey dari Pulau Pinang.
Tuan rumah, Selangor, turut mencatat kejayaan di hadapan penyokong sendiri apabila Felicity Wong Xin Nee merangkul emas kategori 52kg wanita selepas menundukkan wakil Kedah, Nurhasmida Roszaki.
Bagi saingan lelaki, Muhammad Baihaqi Hilmi Mohd menghadiahkan emas buat Terengganu dalam kategori 48kg selepas menewaskan Aaron Ngan Kong Fei dari Selangor.
Lau Ee Xhen pula menyumbang emas kategori 56kg kepada Johor selepas menundukkan Pang Chin Kit dari Wilayah Persekutuan.
Dalam kategori 60kg, wakil Pulau Pinang, Skyler Khor Zhan Quan, muncul juara selepas menumpaskan cabaran Muhammad Harith Nasuha Harith Nasutieon dari Terengganu.
Sementara itu, Lim Yuan Kang melengkapkan senarai pemenang apabila meraih emas kategori 65kg lelaki buat Perak selepas menewaskan Teow Yao Zu dari Johor.