
SHAH ALAM, 3 Ogos- Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyeru seluruh rakyat negeri itu bersama-sama menjayakan Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 yang menjadi cerminan imej Selangor sebagai tuan rumah.
- Kejayaan penganjuran memerlukan sokongan semua rakyat, bukan hanya atlet dan penganjur.
- Sekitar 20,000 peserta dan 10,000 sukarelawan digerakkan untuk memastikan kelancaran temasya.
- Penjawat awam diminta menjadi duta kecil negeri dengan layanan mesra, beradab dan profesional bagi mengangkat imej Selangor.
Beliau berkata kejayaan Selangor sebagai tuan rumah selepas 28 tahun bukan hanya bergantung kepada atlet dan pihak penganjur, sebaliknya memerlukan sokongan semua rakyat bagi menyambut kehadiran puluhan ribu tetamu dari seluruh negara.
Katanya, kira-kira 20,000 atlet, pegawai, penyokong dan keluarga dijangka hadir sepanjang temasya berkenaan, manakala 10,000 sukarelawan akan digerakkan bagi membantu memastikan kelancaran penganjuran.
Beliau turut menggesa penjawat awam memainkan peranan sebagai duta kecil negeri dengan mempamerkan layanan mesra, beradab dan profesional demi mengangkat imej Selangor sebagai tuan rumah terbaik.
Datuk Seri Amirudin berkata SUKMA bukan sekadar kejohanan sukan, malah peluang untuk menampilkan semangat rakyat Selangor yang bersatu, prihatin dan terbuka, sekali gus memastikan negeri itu dikenang bukan sahaja sebagai juara di gelanggang, malah juara dalam penganjuran.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan Penjawat Awam dan Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Selangor 2026 di Shah Alam.
SUKMA Selangor 2026 akan berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos, diikuti Para SUKMA pada 5 hingga 14 September, melibatkan 469 acara bagi 37 jenis sukan dan 316 acara untuk 10 jenis sukan Para.
Majlis pembukaan temasya itu akan berlangsung di Dataran Kemerdekaan Shah Alam.