
GLASGOW, 3 Ogos – Kejayaan kontinjen Malaysia melepasi sasaran pingat pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 disifatkan sebagai antara pencapaian paling bermakna dalam sejarah sukan negara, terutama apabila dilakar menerusi kontinjen yang lebih kecil berbanding edisi terdahulu.
- Malaysia melepasi sasaran pingat dengan meraih lapan emas, tiga perak dan lima gangsa di Glasgow 2026.
- Beberapa detik bersejarah tercipta termasuk emas judo pertama Amir Daniel, Azizulhasni keirin emas sulung dan Abdul Latif Romly pecah rekod T20.
- Skuad angkat berat sumbang lima emas, satu perak, satu gangsa dan pecahkan 10 rekod temasya; sokongan agensi jadi kunci.
Ketua Kontinjen Malaysia, Datuk Awalan Abdul Aziz berkata sasaran awal lima pingat emas, dua perak dan empat gangsa bukan sahaja berjaya dicapai, malah diatasi apabila Malaysia menamatkan temasya dengan kutipan lapan pingat emas, tiga perak dan lima gangsa.
Menurut beliau, kejayaan itu lebih membanggakan kerana Malaysia hanya menghantar seramai 58 atlet yang bertanding dalam lapan daripada 10 jenis sukan yang dipertandingkan.
“Alhamdulillah, kami bukan sahaja mencapai sasaran, malah melepasi semua sasaran pingat dengan meraih lapan emas, tiga perak dan lima gangsa.
“Saya juga boleh menjadi saksi bahawa semua atlet telah memberikan komitmen dan berjuang sedaya upaya untuk mengharumkan nama negara, sama ada mereka membawa pulang pingat atau tidak,” katanya.
Beliau berkata temasya kali ini turut menyaksikan beberapa detik bersejarah buat sukan negara.
Antaranya, Amir Daniel Abdul Majeed menghadiahkan pingat emas pertama Malaysia dalam acara judo, manakala legenda berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang, melengkapkan koleksi pingat Sukan Komanwel dengan meraih emas sulung dalam acara keirin.
Selain itu, jaguh lompat jauh para negara, Datuk Abdul Latif Romly mencipta sejarah apabila memenangi emas acara T20 sambil mencatat rekod baharu temasya.
Dalam acara boling padang pula, Izzat Shameer Dzulkeple muncul pemain pertama negara memenangi pingat dalam acara perseorangan lelaki selepas meraih pingat perak.
Skuad angkat berat pula muncul penyumbang terbesar kejayaan kontinjen negara apabila menghadiahkan lima pingat emas, satu perak dan satu gangsa, selain memecahkan 10 rekod baharu temasya.
“Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang menjadi tulang belakang kejayaan ini termasuk MSN, ISN, Majlis Paralimpik Malaysia, Persatuan Sukan Komanwel Malaysia, MOM dan semua persatuan sukan.
“Tanpa sistem sokongan yang kukuh, kejayaan ini tidak mungkin dapat dicapai,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan khas kepada Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) atas pencapaian cemerlang skuad angkat berat yang menjadi penyumbang terbesar pingat negara pada edisi kali ini.
Kejayaan di Glasgow bukan sahaja menyaksikan Malaysia mencatat prestasi terbaik sejak Sukan Komanwel New Delhi 2010, malah menjadi suntikan keyakinan buat kontinjen negara menjelang cabaran di Sukan Asia Aichi-Nagoya tahun depan.