Strategi sasaran pingat MSN beri pulangan cemerlang di Glasgow

Foto BERNAMA

GLASGOW, 3 Ogos – Pendekatan menetapkan sasaran spesifik berdasarkan warna pingat yang diperkenalkan Majlis Sukan Negara (MSN) terbukti berkesan apabila kontinjen Malaysia bukan sahaja mencapai sasaran, malah melakar pencapaian lebih baik pada Sukan Komanwel Glasgow 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Malaysia membawa pulang lapan emas, tiga perak dan lima gangsa di Glasgow.
  • Angkat berat penyumbang terbesar; olahraga, berbasikal trek dan judo turut mencatat prestasi membanggakan.
  • Kontinjen tamat di tempat ke-10 keseluruhan dan kontinjen terbaik Asia Tenggara, memberi petanda positif untuk temasya akan datang.

Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin berkata strategi berasaskan pulangan pingat (return on investment atau ROI) membolehkan Malaysia mencatat prestasi terbaik dalam tiga edisi terakhir temasya berkenaan.

Menurut beliau, walaupun hanya menyertai lapan daripada 10 jenis sukan yang dipertandingkan, Malaysia berjaya membawa pulang lapan pingat emas, tiga perak dan lima gangsa, sekali gus membuktikan keberkesanan pendekatan tersebut.

“Daripada 10 sukan yang dipertandingkan, hanya lapan kita sertai. Mengikut formula yang selalu disebut Tan Sri Norza, setiap penyertaan perlu memberi pulangan ROI pingat.

“Alhamdulillah, daripada lapan sukan yang kita sertai, kita berjaya membawa pulang lapan pingat emas. Itu satu pencapaian yang sangat cemerlang,” katanya.

Beliau berkata skuad angkat berat muncul penyumbang terbesar kejayaan negara, manakala sukan olahraga, berbasikal trek dan judo turut mencatat prestasi membanggakan sepanjang temasya.

Jefri turut menyifatkan kejayaan itu hasil kerjasama erat antara MSN, Institut Sukan Negara (ISN), Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), persatuan sukan kebangsaan serta kepimpinan kontinjen negara.

“Kita juga mempunyai ramai atlet muda yang menjadi aset masa depan negara. Seramai 12 atlet membuat penampilan sulung di Sukan Komanwel kali ini dan mereka menunjukkan prestasi yang sangat baik.

“Ini menjadi asas untuk kita membina pasukan yang lebih kuat pada masa hadapan,” katanya.

Tambah beliau, beberapa jenis sukan akan dinilai semula bagi memperkemaskan proses pembangunan dan persediaan atlet menjelang temasya akan datang.

Malaysia menamatkan kempen di Glasgow pada kedudukan ke-10 keseluruhan, muncul kontinjen terbaik Asia Tenggara selain mengatasi beberapa negara Komanwel yang lebih besar.

Pencapaian itu turut memberikan petanda positif menjelang cabaran lebih besar di Sukan Asia serta Sukan Komanwel 2030 di Hyderabad, India.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.