
KUALA LUMPUR, 15 Ogos – Perkembangan sukan sorak dalam kalangan pelajar terus menunjukkan momentum positif apabila penyertaan Pertandingan Sorak Antarabangsa CJ 2026 melonjak hampir tiga kali ganda dalam tempoh tiga tahun.
- Pertandingan menyediakan platform untuk pelajar asah kemahiran, menyerlahkan bakat dan membina keyakinan diri.
- Pengasas mahu pembangunan sukan sorak lebih mampan dengan penglibatan peringkat rendah dan penganjuran pertandingan lebih kerap.
- Cadangan mewujudkan liga dan acara tambahan bertujuan menarik sokongan meluas serta membuka peluang kepada atlet muda.
Pengasas Bersama CJ Sports Academy, Joey Tang berkata, peningkatan penyertaan itu mencerminkan keberkesanan pertandingan berkenaan dalam menyediakan ruang kepada peserta mengasah dan menyerlahkan kebolehan mereka.
“Kami mahu menyediakan platform yang lebih baik kepada mereka untuk mengetengahkan diri, menunjukkan apa yang telah mereka pelajari serta membina keyakinan diri,” katanya.
Beliau ditemui RTM pada Pertandingan Sorak Antarabangsa CJ 2026 di Arena KL, di sini.
Sementara itu, Pengasas Bersama CJ Sports Academy, Kevin Lim Kien Fong berharap perkembangan itu dapat menjadi asas kepada pembangunan sukan sorak lebih mampan termasuk memperkukuh penyertaan dari peringkat sekolah rendah.
Beliau turut melihat penganjuran lebih banyak pertandingan sebagai antara langkah yang boleh membuka peluang kepada atlet muda serta menarik sokongan lebih meluas terhadap sukan berkenaan.
“Saya fikir mungkin pada masa akan datang, kita boleh mewujudkan liga pertandingan sukan sorak.
“Ini dapat menarik lebih ramai pihak untuk memberikan sokongan dan seterusnya menjadikan sukan ini lebih besar,” katanya.
Pertandingan Sorak Antarabangsa CJ merekodkan penglibatan kira-kira 1,400 peserta daripada 82 pasukan tahun ini, berbanding 500 peserta daripada 21 pasukan pada 2024.