F1 Bahrain GP: Tiket harga istimewa masih tersedia untuk pemegang MyKad

Foto Fail BERNAMA

SEPANG, 15 Ogos – Tiket terhad pada harga istimewa masih tersedia secara eksklusif kepada pemegang kad pengenalan Malaysia (MyKad) bagi menyaksikan Formula 1 (F1) Gulf Air Bahrain Grand Prix (GP) in Malaysia 2026, Oktober ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perlumbaan dijadual berlangsung di SIC dari 2 hingga 4 Oktober.
  • Trafik laman meningkat ketara dan tiket terjual pantas, menurut SIC yang menghargai kesabaran peminat.
  • Perdana Menteri umum Tiket MADANI serendah RM200 untuk pemegang MyKad, memberi peluang lebih ramai menyaksikan tiga hari perlumbaan.

Sepang International Circuit (SIC) memaklumkan, tiket berkenaan boleh dibeli menerusi bahraingp.com.

“Sambutan luar biasa terhadap perlumbaan itu menyebabkan trafik ke laman sesawang berkenaan meningkat dengan ketara dengan tiket terjual sangat pantas.

“Kami menghargai kesabaran dan pemahaman peminat,” menurut SIC dalam satu kenyataan di Facebook.

Perkembangan lanjut mengenai perkara tersebut akan dikongsikan menerusi saluran media sosial rasmi Bahrain International Circuit (BIC) dan SIC.

F1 Gulf Air Bahrain GP in Malaysia 2026 dijadual berlangsung di SIC dari 2 hingga 4 Oktober ini.

Perlumbaan itu pada asalnya dijadualkan berlangsung di Litar Antarabangsa Bahrain pada April sebelum ditangguhkan ke Oktober susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Tiket MADANI khusus untuk pemegang MyKad pada harga serendah RM200 bagi akses sepanjang tiga hari acara.

Menurut beliau, inisiatif itu memberi peluang kepada lebih ramai rakyat Malaysia menyaksikan perlumbaan Formula 1 secara langsung di Litar Antarabangsa Sepang.

SIC sebelum ini menjadi tuan rumah Grand Prix Malaysia dari 1999 hingga 2017 sebelum perlumbaan itu digugurkan daripada kalendar Formula 1 susulan peningkatan kos penganjuran dan fi pelesenan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.