
KUALA LUMPUR, 15 Ogos – Harimau Malaya tidak boleh menjadikan ketiadaan beberapa pemain sebagai alasan apabila berdepan juara bertahan Vietnam pada aksi separuh akhir pertama Piala ASEAN 2026 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, esok.
- Setiap pemain harus bersedia memikul tanggungjawab apabila diperlukan.
- Keyakinan pemain penting ketika turun beraksi dalam perlawanan berintensiti tinggi.
- Fokus pada prestasi sendiri dan bukan terlalu memikirkan kekuatan Vietnam.
- Manfaatkan kelebihan gelanggang dan sokongan penyokong, kemenangan pilihan utama.
Ketua Jurulatih Interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menegaskan setiap pemain harus bersedia memikul tanggungjawab apabila diperlukan.
“Kita tidak boleh mencari alasan bahawa pemain ini atau pemain itu tiada. Semua pemain dalam skuad perlu bersedia walau apa juga keadaannya.
“Kita perlu bekerjasama dan berjuang bersama-sama,” katanya pada sidang media praperlawanan berkenaan, di sini.
Jelasnya lagi, keyakinan pemain menjadi elemen penting ketika turun beraksi dalam perlawanan berintensiti tinggi itu.
“Saya masih percaya setiap pemain perlu mempunyai keyakinan apabila turun ke padang dan menunjukkan kepada semua bahawa mereka layak berada di separuh akhir serta menjadi sebahagian daripada pasukan,” katanya.
Antara pemain yang tidak dapat diturunkan ialah Endrick Dos Santos, Jimmy Raymond, Aliff Haiqal Lokman Hakim Lau dan Engku Shakir Engku Yacob akibat kecederaan.
Wan Kuzain Wan Ahmad Kamal pula telah kembali ke kelabnya di Amerika Syarikat, Sporting Jax.
Cheng Hoe mengakui Vietnam bakal memberi ujian getir berdasarkan rekod cemerlang serta pilihan jentera serangan yang dimiliki pasukan itu.
Bagaimanapun, beliau mahu Malaysia memberi tumpuan kepada prestasi sendiri berbanding terlalu memikirkan kekuatan lawan.
Cheng Hoe menjadikan perjalanan Cape Verde di Piala Dunia FIFA 2026 sebagai inspirasi bahawa keputusan di luar jangkaan mampu berlaku dalam bola sepak.
Beliau juga menyeru penyokong Malaysia hadir membanjiri stadium bagi memberikan sokongan padu kepada Harimau Malaya.
Sementara itu, pemain pertahanan Harimau Malaya, Ubaidullah Shamsul Fazili berkata, pasukan mahu memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri sebelum perlawanan timbal balik kedua di Hanoi pada Rabu ini.
“Perlawanan esok, pilihannya sama ada menang atau seri. Kita tidak boleh kalah di laman sendiri.
“Kemenangan adalah pilihan pertama. Jika seri, ia masih baik untuk kita bawa motivasi itu ke Hanoi.
“Seperti yang saya katakan, kami sentiasa akan cuba melakukan yang terbaik untuk menang di laman sendiri. Ini adalah perasaan terbaik,” katanya.