
KUALA LUMPUR, 30 April – Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM) menggesa persatuan bola sepak di negara ini agar kembali memberi penekanan serius terhadap agenda pembangunan pemain di peringkat akar umbi.
- Tumpuan berlebihan kepada sekolah sukan negeri dan NFDP boleh menjejaskan usaha mencungkil bakat secara meluas.
- Persatuan bola sepak mesti memikul tanggungjawab mencari bakat, bukan bergantung sepenuhnya pada ekosistem sedia ada.
- Pendekatan proaktif diperlukan, mendekati sekolah rendah dan menengah untuk menggali bakat tersembunyi.
- Kritik terhadap persatuan yang mengabaikan pembangunan; pujian untuk kejohanan baru dan penyertaan PBMM dalam Liga Remaja NFDP.
Presidennya Mohd Firdaus Mohamed berkata tumpuan yang terlalu terarah kepada sekolah sukan negeri serta Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) ketika ini dikhuatiri menjejaskan usaha mencungkil bakat baharu secara lebih meluas.
Beliau berkata pada dasarnya tanggungjawab mencungkil bakat seharusnya dipikul oleh persatuan bola sepak tanpa hanya bergantung kepada ekosistem sedia ada.
“Kita tidak boleh meletakkan asas bahawa untuk mewakili negara, pemain mestilah datang daripada sekolah sukan negeri ataupun NFDP sahaja.
“Sebaliknya, kita perlu keluar dan mendekati sekolah di peringkat rendah serta menengah. Inilah yang perlu kita lakukan sekarang iaitu ‘menggali’ sedalam mungkin bagi memastikan bakat ini ditemui,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Penyertaan PBMM dalam Liga Remaja Kebangsaan NFDP 2026, di sini, hari ini.
Pada masa sama Mohd Firdaus yang juga bekas Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu tidak menafikan impak positif yang disumbangkan oleh sekolah sukan dan NFDP, namun berpendapat medium pencarian bakat tidak seharusnya terhad kepada saluran tersebut semata-mata.
“Wujudnya sekolah sukan ini memang bagus dan memberi nilai tambah, tetapi fokus utama kita adalah mencari bakat. Kadangkala, bakat besar ini tidak semestinya lahir dari sekolah sukan atau akademi sedia ada, tetapi mungkin tersembunyi di peringkat sekolah harian,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Firdaus turut meluahkan kekecewaan terhadap segelintir persatuan bola sepak yang didakwa memandang remeh soal pembangunan sehingga gagal menjalankan fungsi utama mereka untuk melahirkan bakat baharu.
“Mungkin ada sebahagian persatuan yang menjalankan kerja mereka, tetapi ada juga yang tidak. Justeru, kita terpaksa bermula dari bawah semula untuk memastikan kelangsungan bakat ini.
“Saya juga memuji usaha penganjuran piala (kejohanan) tertentu tahun ini yang diperkenalkan untuk mencungkil bakat. Kita berharap semua pihak dapat bersatu bagi memastikan apa yang dirancang membuahkan hasil,” katanya.
Terdahulu, PBMM buat julung kali menghantar ‘ubi muda’ bagi kategori Bawah 12 Tahun (B-12), B-15 dan B-16 untuk menyertai Liga Remaja Kebangsaan NFDP.- BERNAMA
