Tasha mae beralih ke sukan mendayung untuk gapai impian Olimpik

FOTO IG tashmae__

KUALA LUMPUR, 30 April – Atlet bola tampar pantai Malaysia, Tasha Mae, mengumumkan akan beralih kepada sukan mendayung dalam satu langkah beraninya untuk mengejar impian menjadi atlet Olimpik.

RINGKASAN BERITA AI
  • Beliau membuat keputusan kerana menyedari bola tampar mungkin bukan laluan ke Olimpik; menegaskan keputusan itu peribadi dan berterima kasih kepada komuniti bola tampar.
  • Beliau mula mencuba sukan mendayung pertengahan Januari apabila pertama kali menaiki bot dan memegang dayung.
  • Komuniti mendayung menyambut baik dan sokongan mereka memudahkan peralihan beliau.
  • Bertanding regata antarabangsa pertama bersama Next Level Rowing, membawa pulang pingat, tetap tekad walau peluang tipis.

Tasha berkata beliau mengambil keputusan tersebut selepas menyedari bahawa sukan yang diminatinya sejak kecil itu mungkin bukan lagi menjadi laluan beliau untuk ke pentas Olimpik.

Beliau berkata pertukaran itu sepenuhnya adalah pilihannya sendiri dan bukan mencerminkan sebarang masalah dalam sukan itu.

“Luluh hati saya apabila menyedari bahawa walaupun bola tamparlah yang membawa saya sejauh ini, namun ia mungkin bukan lagi laluan untuk saya ke Olimpik.

“Saya cuma mahu anda tahu bahawa keputusan ini tidak ada kena mengena dengan pihak dalam sukan bola tampar Malaysia. Saya sangat berterima kasih kepada mereka dan semua yang telah mereka lakukan untuk saya dan ini adalah keputusan saya sendiri,” katanya menerusi video yang dikongsi di laman Instagramnya baru-baru ini.

Sementara itu, mengenai sukan mendayung yang baru diceburinya, beliau berkata ia hanya bermula pada pertengahan Januari tahun ini, apabila beliau pertama kali menaiki bot dan memegang dayung.

Beliau berkata komuniti sukan mendayung sangat mengalu-alukan dan sokongan yang diterimanya itu amat membantu beliau dalam peralihannya itu.

Tasha juga mendedahkan bahawa dia baru-baru ini bertanding dalam regata antarabangsa pertamanya dan pulang ke tanah air dengan membawa pingat.

“Malah, minggu lepas saya bertanding dalam regata antarabangsa pertama saya dengan Next Level Rowing hasil bimbingan Jurulatih Marc dan saya sangat teruja,” katanya.

Walaupun menyedari betapa sukar untuk mencapai sasaran Olimpik dalam sukan baharu itu, Tasha berkata dia tekad untuk memberi peluang kepada dirinya sendiri untuk mencuba.

“Saya beritahu diri sendiri walaupun cuma ada peluang 0.00001% untuk berjaya, saya tetap akan mencuba.

“Kerana apa yang lebih teruk daripada tidak mencuba adalah hidup dengan penyesalan kerana saya tidak pernah melihat sejauh mana saya benar-benar boleh pergi,” katanya.- BERNAMA