
KUALA LUMPUR, 30 April – Syarikat platform pusat data hiperskala terkemuka di Asia Pasifik dan Asia Barat, AirTrunk, akan menambah pelaburan sebanyak RM12 bilion tahun ini untuk membina dua lagi pusat data baharu di Iskandar Puteri, Johor.
- AirTrunk meningkatkan komitmen pelaburan kepada RM27 bilion di Malaysia.
- Perdana Menteri menerima kunjungan AirTrunk, membincangkan kemajuan pembinaan pusat data di Johor dan rangka lokalisasi.
- Rangka lokalisasi bertujuan meningkatkan penyertaan syarikat tempatan dalam rantaian nilai pusat data.
- Datuk Seri Anwar berkata pelaburan ini kukuhkan keyakinan pelabur dan kedudukan Malaysia sebagai hab digital serantau.
Ia sekali gus menjadikan jumlah komitmen pelaburannya di negara ini meningkat kepada RM27 bilion
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaburan tambahan itu dimaklumkan ketika beliau menerima kunjungan hormat Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif AirTrunk, Robin Khuda bersama delegasi syarikat itu di Putrajaya semalam.
Menurut beliau, pertemuan itu turut membincangkan kemajuan pembinaan semasa pusat-pusat data AirTrunk di Johor serta rangka kerja lokalisasi.
“(Kemajuan) itu bagi meningkatkan penyertaan syarikat tempatan dalam rantaian nilai pusat data.
“Komitmen pelaburan ini amat dialu-alukan dan diyakini akan memperkukuh lagi kedudukan Malaysia sebagai hab digital serantau yang berdaya saing, progresif dan berkeupayaan tinggi,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Datuk Seri Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata keputusan AirTrunk menambah pelaburan mencerminkan keyakinan pelabur.
“Terutamanya syarikat-syarikat teknologi global terhadap kelebihan Malaysia sebagai rakan strategik di kala kerajaan memperkemas dasar serta tahap kecekapan pembangunan dan operasi pusat-pusat data,” katanya.