
PENDANG, 30 April – Penduduk yang terjejas dengan kejadian ribut diingatkan supaya sentiasa memastikan kediaman masing-masing berada dalam keadaan selamat dan tidak meletakkan barang-barang berharga di kawasan terbuka.
- MCPF Kedah tekankan langkah keselamatan untuk mengelak jenayah dan kecurian oleh pihak tidak bertanggungjawab.
- Penduduk terjejas disaran berwaspada supaya orang lain tidak mengambil kesempatan ketika dalam kesusahan.
- Pengawal keselamatan kawasan sekolah dan kawasan industri digesa mengambil langkah keselamatan yang lebih aktif.
- Ribut dan angin kencang menyebabkan 192 rumah terjejas, 11 sekolah rosak, serta MRSM Pendang mengalami kerosakan teruk.
Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Kedah, Datuk Dr. Zulkifly Mohamad memaklumkan, langkah itu bagi mengelak berlakunya kes jenayah termasuk kecurian oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Kepada penduduk yang terlibat dengan puting beliung, maka harus waspada supaya tidak ada orang yang mengambil kesempatan ketika dalam kesusahan. Barang berharga, pastikan diletak di dalam bilik yang selamat dan berkunci.
“Jadi langkah-langkah keselamatan ini penting terutama pengawal keselamatan kawasan sekolah, contohnya di kawasan industri dan mengambil langkah aktif,” katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada penduduk terjejas ribut di beberapa buah kampung sekitar Mukim Ayer Puteh, di sini.
Kejadian ribut serta angin kencang yang berlaku pada petang Isnin lalu menyebabkan 192 rumah di Pendang terjejas.
Ia turut menyebabkan 11 sekolah di tiga daerah di negeri Kedah mengalami kerosakan.
Ia melibatkan enam sekolah di daerah Pendang, empat sekolah di daerah Kulim/Bandar Baharu serta satu sekolah di daerah Kota Setar.
Selain itu, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Pendang mengalami kerosakan teruk.