McLaren pamer warisan gemilang F1 menjelang GP Miami

FOTO REUTERS

MIAMI, 30 April – McLaren menghangatkan jalanan Miami dengan mempamerkan sejarah gemilang Formula 1 (F1) menerusi aksi deruman jentera juara dunia yang dipandu barisan legenda dan pemandu semasa pasukan itu, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Norris dan Piastri berganding dengan legenda seperti Hakkinen dan Fittipaldi untuk mempamerkan jentera juara dunia, memukau peminat.
  • Perayaan perlumbaan ke-1,000 McLaren ditunda kerana pembatalan di Asia Barat; sambutan rasmi kini dirancang di Monaco pada Jun.
  • Fittipaldi memandu McLaren M23 V8 ikonik; Norris dan Piastri juga mempamer jentera juara 2008 dan beramah mesra dengan ribuan peminat.

Juara dunia bertahan, Lando Norris bersama rakan sepasukan Oscar Piastri, bergandingan dengan dua bekas juara dunia Mika Hakkinen dan Emerson Fittipaldi dalam acara khas yang mencuri perhatian peminat menjelang Grand Prix Miami.

Sambutan itu pada asalnya dirancang sebagai perayaan perlumbaan ke-1,000 McLaren, namun konflik di Asia Barat yang menyebabkan pembatalan perlumbaan di Bahrain dan Arab Saudi menyaksikan pencapaian bersejarah itu hanya akan diraikan secara rasmi di Monaco, Jun ini.

Norris berkata, beliau bangga menjadi sebahagian daripada sejarah besar McLaren yang diasaskan Bruce McLaren pada 1966.

“Kami sepatutnya meraikannya di sini, namun hari ini tetap istimewa kerana dapat melihat semua jentera, sejarah dan pemandu yang pernah membawa nama McLaren.

“Ia satu pencapaian besar dan saya amat berbangga,” katanya.

Fittipaldi, juara pertama McLaren pada 1974, turut memandu jentera ikonik McLaren M23 berenjin V8 yang sinonim dengan era kegemilangan pasukan itu.

Legenda Brazil berusia 79 tahun itu berkata, beliau berbangga menjadi sebahagian daripada sejarah panjang McLaren yang disifatkannya cukup luar biasa.

Dalam acara sama, Norris dan Piastri turut memandu jentera juara dunia 2008 milik Lewis Hamilton sebelum menyapa ribuan peminat yang membanjiri lokasi bersejarah Coconut Grove.-REUTERS