
HORSENS, 30 April – Kempen Malaysia dalam saingan Pusingan Akhir Piala Uber 2026 berakhir dengan kekalahan 0-3 kepada juara bertahan China pada peringkat suku akhir di Forum Horsens, hari ini.
- K. Letshanaa tewas 17-21, 18-21 kepada Wang Zhi Yi dalam 47 minit setelah memberi tentangan sengit.
- Ong Xin Yee dan Carmen Ting tewas 14-21, 21-16, 13-21 kepada Liu Shengshu dan Tan Ning selepas perlawanan satu jam.
- Chen Yu Fei menewaskan Wong Ling Ching 21-10, 21-10 dalam 36 minit dan mengesahkan kemaraan China ke separuh akhir.
Malaysia bermula hambar apabila pemain perseorangan wanita nombor 33 dunia K. Letshanaa tewas 17-21, 18-21 kepada pemain nombor dua dunia Wang Zhi Yi dalam tempoh 47 minit meskipun memberikan tentangan sengit.
Harapan Malaysia untuk menyamakan kedudukan tidak kesampaian apabila pasangan beregu wanita negara, Ong Xin Yee-Carmen Ting, tewas kepada gandingan China, Liu Shengshu-Tan Ning dalam perlawanan kedua.
Pasangan ranking ke-22 dunia itu memberikan tentangan sengit sebelum akur kepada beregu nombor satu dunia itu dengan keputusan 14-21, 21-16, 13-21 dalam aksi yang berlangsung selama sejam.
Pada set pertama, pasangan China menguasai permainan untuk mencatat kemenangan 21-14. Namun, Xin Yee-Carmen bangkit pada set kedua dengan corak lebih agresif bagi mengikat kedudukan menerusi kemenangan 21-16.
Set penentuan menyaksikan kedua-dua pasangan saling mengejar mata pada peringkat awal, namun gandingan China mula mencipta jurang apabila mendahului 11-5.
China mengesahkan kemaraan ke separuh akhir menerusi perlawanan ketiga apabila pemain ranking ke-4 dunia Chen Yu Fei membenam saingan pemain negara, Wong Ling Ching dengan kemenangan 21-10, 21-10 dalam masa 36 minit.