Op Cyber Guardian bongkar kegiatan CSAM, 69 individu ditahan

Modus operandi suspek bergerak secara individu dan berkumpulan menggunakan aplikasi media sosial / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 30 April – Operasi Cyber Guardian 2026 berjaya membongkar kegiatan pengedaran video lucah dan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM).

RINGKASAN BERITA AI
  • 69 individu, termasuk penjawat awam, ditahan di seluruh negara dalam operasi khas.
  • Dirampas 498,690 fail digital; 204,934 CSAM dan 293,756 pornografi dewasa.
  • Suspek gunakan aplikasi media sosial, kumpulan berbayar melalui e-dompet dan kod QR; PDRM tegas tidak akan berkompromi.

69 individu termasuk penjawat awam ditahan dalam operasi khas itu di seluruh negara yang dijalankan dari 6 hingga 8 April lepas.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail mendedahkan, operasi mendapat kerjasama antarabangsa melibatkan tujuh negara, masing-masing Malaysia, Singapura, Thailand, Brunei, Hong Kong, Korea Selatan dan Jepun.

“498,690 fail digital terdiri 204,934 fail CSAM dan 293,756 fail pornografi dewasa, dirampas.

“67 kertas siasatan dibuka di bawah pelbagai akta termasuk Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 serta Kanun Keseksaan,” kejayaan itu dikongsi dalam sidang media di sini.

Setakat ini, 62 suspek telah didakwa melibatkan 81 pertuduhan.

“Daripada angka itu, dua individu dipenjara antara tiga hingga tujuh bulan manakala seorang lagi dipenjara enam bulan serta didenda RM3,500.

“Dan 29 individu lain, didenda antara RM1,700 hingga RM7,000,”katanya.

Modus operandi pula, suspek dikesan bergerak secara individu dan berkumpulan menggunakan aplikasi media sosial untuk mengedar serta menjual bahan lucah berkenaan.

“Siasatan mendapati terdapat ekosistem digital secara tersusun dan pentadbir kumpulan dikesan menawarkan akses berbayar melalui transaksi e-dompet serta kod QR.

“Ibu bapa dinasihat untuk sentiasa memantau aktiviti digital anak masing-masing bagi mengelak ancaman siber. PDRM tidak akan berkompromi dengan pihak yang memperdagangkan keselamatan kanak-kanak”,tegasnya.