
BESUT, 30 April – Seorang lelaki mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki 12 keping kad pengenalan (MyKad) palsu di Mahkamah Majistret di sini.
- Dituduh memiliki kad pengenalan palsu tanpa kuasa mengikut Peraturan 25(1)(e) Akta Pendaftaran Negara 1959.
- Jika sabit kesalahan, hukuman sehingga tiga tahun penjara atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya.
- Mahkamah benarkan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin; sebutan dan serahan dokumen ditetapkan 2 Ogos.
- Seorang rakan, Mohd Aiman Musa, turut didakwa memiliki methamphetamine sebanyak 7.11 gram di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya.
Tertuduh Aman Rasid, 39 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurlyana Md Zukri.
Tertuduh tanpa kuasa yang sah atau sebab yang munasabah memiliki 12 keping kad pengenalan palsu.
Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Peraturan 25(1)(e) Akta Pendaftaran Negara 1959 (Akta 78) yang boleh dihukum mengikut peraturan yang sama.
Jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 2 Ogos depan sebagai sebutan dan serahan dokumen.
Sementara itu tertuduh bersama rakannya Mohd Aiman Musa, 35 tahun turut didakwa memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 7.11 gram.
Bagi kesalahan tersebut kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(1) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Najah Azhar.