
SEPANG, 30 April – Seorang suri rumah mengaku tidak bersalah di Mahkmah Sesyen disini hari ini atas pertuduhan membuat kandungan palsu berkaitan kenaikan harga bahan api di media sosial.
- Didakwa membuat dan menghantar komunikasi palsu mengenai kenaikan bahan api di aplikasi Threads pada 31 Mac.
- Pegawai MCMC mengesan hantaran itu pada hari yang sama.
- Didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, hukuman denda atau penjara.
- Mahkamah benarkan jaminan RM4,000, sebutan semula 4 Jun serta serahan dokumen.
Tertuduh, Siti Nor Sayikilla Mohd Azhar, 31, didakwa sedar melakukan perbuatan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi palsu dengan niat menganggu orang lain di aplikasi Threads pada 31 Mac lalu.
Berdasarkan kertas pertuduhan, pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berjaya mengesan hantaran itu pada hari yang sama.
Wanita itu didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya, serta denda tambahan RM5,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.
Mahkamah membenarkan Siti Nor Sayikilla diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Jun ini untuk sebutan semula kes serta serahan dokumen.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Azmir Mohd Razali, manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali.
Sebelum ini, Muhammad Rafique memohon jaminan minimum RM500 susulan keadaan kehidupan semasa anak guamnya itu.
Katanya, Siti Nor Sayikilla merupakan suri rumah tanpa pendapatan tetap, manakala suaminya bekerja kampung dengan pendapatan tidak menentu serta mempunyai dua orang anak, seorang daripadanya orang kurang upaya (OKU).
Namun, selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah menegaskan kesalahan itu adalah serius dan tidak boleh dipandang ringan.