
KUALA LUMPUR, 30 April – Seorang kapten tentera berdepan hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun selepas didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki warga Bangladesh dalam kemalangan di Lebuhraya Maju Expressway (MEX), minggu lalu.
- Jad Faid Arhan, 31, ditugaskan di divisyen artileri Kementerian Pertahanan.
- Tiada pengakuan direkodkan; kes berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
- Didakwa menyebabkan kematian seorang lelaki warga Bangladesh, 22, di Km1.9 Lebuhraya MEX menghala ke Jalan Tun Razak kira-kira pukul 5.30 pagi.
- Mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol, mengikut Seksyen 44(1A)(b); hukuman maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM50,000.
Tertuduh, Jad Faid Arhan, 31, yang bertugas di divisyen artileri Kementerian Pertahanan, hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibacakan di hadapan Majistret Illi Marisqa Khalizan.
Tiada pengakuan direkodkan kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kematian lelaki warga Bangladesh berusia 22 tahun di Kilometer 1.9 Lebuhraya MEX dari arah Salak Selatan menghala ke Jalan Tun Razak kira-kira pukul 5.30 pagi.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan.
Dalam prosiding berasingan di Mahkamah Majistret Trafik, tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kecederaan kepada pemandu e-hailing dan seorang penumpang wanita.
Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 44(1A)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM50,000 jika sabit kesalahan.
Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan dan menetapkan 21 Julai ini untuk sebutan semula kes.