Empat unit kuarters guru, kantin sekolah terbakar di SK Imbak

2 bangunan kuarters guru, sebuah kantin dan sebuah kenderaan musnah 100% dalam kebakaran/Foto Bomba

TONGOD, 30 April – Empat unit kuarters guru, sebuah kantin sekolah dan sebuah kereta musnah dalam kebakaran di Sekolah Kebangsaan (SK) Imbak pada petang Rabu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perjalanan pasukan bomba mengambil masa kerana lokasi kira-kira 167 kilometer dari balai.
  • Orang awam menggunakan pam air persendirian dan sumber dari tangki awam berjaya memadam kebakaran sebelum ketibaan bomba.
  • Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan sekitar kawasan untuk memastikan tiada lagi bahaya.
  • Tiada mangsa dilaporkan dan operasi ditamatkan sepenuhnya setelah keadaan disahkan selamat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan, Hairi Utoh berkata, pasukannya bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan, namun perjalanan mengambil masa disebabkan jarak lokasi kira-kira 167 kilometer (km).

Katanya, kebakaran membabitkan dua blok kuarters guru dengan empat pintu berkeluasan 40×40 kaki setiap satu jenis tidak kekal yang terbakar sepenuhnya.

“Turut musnah sebuah kantin sekolah berkeluasan 20×30 kaki jenis tidak kekal serta sebuah kereta Proton Saga BLM yang terbakar 100 peratus.

“Kebakaran bagaimanapun berjaya dipadamkan lebih awal oleh orang awam menggunakan pam air persendirian dengan sumber air dari tangki awam sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba kemudian menjalankan pemeriksaan di sekitar kawasan bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain berlaku.

Tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kejadian itu dan operasi ditamatkan sepenuhnya selepas keadaan disahkan selamat.