Lelaki cuba bunuh polis diberkas di Tanah Merah ada 13 rekod jenayah lampau

FOTO IPD Tanah Merah

TANAH MERAH, 30 April – Seorang lelaki yang cuba membunuh anggota polis ketika cubaan ditahan diberkas selepas dua das tembakan dilepaskan dalam kejadian di Tepi Sawah, Jalan Masjid Tok Che Dol, di sini, pada Rabu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kenderaan pacuan empat roda dikesan mencurigakan; suspek melarikan diri dan beberapa kali mengundurkan kenderaan hingga melanggar kenderaan polis.
  • Pegawai serbuan mengarahkan tembakan ke tayar belakang; tembakan pertama mengenai tayar kanan, tembakan kedua mengenai tayar kiri belakang.
  • Suspek ditahan tanpa kecederaan, kenderaan dirampas; mempunyai 13 rekod jenayah lampau dan disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Penguasa Polis SUPT Mohd Haki Hasbullah menerusi satu kenyataan memaklumkan, kejadian kira-kira pukul 5.57 petang itu berlaku ketika anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah menjalankan operasi.

Menurut beliau, polis terlebih dahulu mengesan sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam keadaan mencurigakan sebelum suspek bertindak melarikan diri, sekali gus mencetuskan aksi kejar-mengejar sehingga ke kawasan sawah.

“Suspek kemudian memberhentikan kenderaan secara tiba-tiba sebelum bertindak agresif dengan mengundurkannya pada kelajuan tinggi sehingga melanggar bahagian hadapan kenderaan polis.

“Walaupun diarahkan keluar, suspek enggan memberi kerjasama dan terus cuba melanggar anggota polis dengan mengundurkan kenderaan beberapa kali,” katanya.

Beliau berkata, bagi mempertahankan diri, pegawai serbuan mengarahkan seorang anggota melepaskan tembakan ke arah tayar belakang kenderaan suspek.

Tembakan pertama mengenai tayar kanan belakang, manakala tembakan kedua mengenai tayar kiri belakang selepas suspek masih enggan menghentikan tindakannya.

Suspek akhirnya berjaya ditahan tanpa sebarang kecederaan dan polis turut merampas kenderaan terbabit.

Semakan mendapati lelaki itu mempunyai 13 rekod jenayah lampau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.