30 PATI ditahan dalam serbuan lombong bijih besi

Foto PGA

RANTAU PANJANG, 29 Oktober – Seramai 30 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam operasi di sebuah lombong bijih besi di Kampung Gual Dalam, Lubok Stol, di sini, awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi Op Taring Wawasan Kelantan dilaksanakan Cawangan Risik Batalion 9 PGA bersama Bahagian Siasatan Jenayah IPD Pasir Mas pada pukul 5 pagi.
  • Tindakan dijalankan hasil risikan dan maklumat awam menurut Komander Briged Tenggara PGA Datuk Ahmad Radzi Hussain.
  • Pemeriksaan kabin pekerja mendapati ramai tidak dapat mengemukakan dokumen pengenalan, pasport atau permit kerja sah.
  • 16 warga Bangladesh dan 14 warga Indonesia termasuk dua wanita, berumur 25 hingga 53 tahun, dibawa ke IPD Pasir Mas untuk siasatan.

Operasi menerusi Op Taring Wawasan Kelantan itu dilaksanakan Cawangan Risik Batalion 9 PGA bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas pada pukul 5 pagi.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, tindakan itu dilakukan hasil risikan serta maklumat awam.

“Pemeriksaan di beberapa kabin yang dijadikan tempat penginapan pekerja mendapati sekumpulan warga asing gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri, pasport dan permit kerja yang sah.

“Sebahagian mereka turut disyaki menyalahgunakan permit kerja, tinggal tanpa dokumen perjalanan yang sah, menggunakan dokumen meragukan serta memiliki pasport yang telah tamat tempoh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Serbuan itu membawa kepada penahanan 16 lelaki warga Bangladesh dan 14 warga Indonesia, termasuk dua wanita, berusia antara 25 hingga 53 tahun.

Kesemua mereka dibawa ke IPD Pasir Mas untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.