
KUALA LUMPUR, 30 April – Kementerian Kewangan (MOF) menegaskan bahawa panduan pelarasan perbelanjaan mengurus hanya melibatkan perbelanjaan tidak kritikal, manakala semua perbelanjaan teras termasuk perkhidmatan asas, keselamatan, kesihatan dan pendidikan akan diteruskan seperti yang diluluskan dalam Belanjawan 2026.
- Perbelanjaan teras meliputi kementerian kritikal seperti Kesihatan dan Pendidikan, antara penerima peruntukan tertinggi Belanjawan.
- Pelarasan merangkumi tunda penganjuran acara, hadkan kunjungan dan latihan luar negara, jimat utiliti, optimakan rizab agensi, tunda pengisian jawatan bukan kritikal.
- Langkah pelarasan diutamakan untuk mewujudkan ruang fiskal membiayai bantuan dan subsidi bersasar bagi melindungi golongan serta sektor rentan.
- MOF komited proaktif tingkatkan kecekapan perbelanjaan dan memperkukuh keupayaan tindak balas krisis sambil mengekalkan kedudukan kewangan kukuh.
MOF dalam kenyataan berkata, perbelanjaan teras meliputi kementerian kritikal seperti Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan yang merupakan antara penerima peruntukan tertinggi dalam Belanjawan tahun ini.
”Panduan pelarasan perbelanjaan termasuk langkah seperti penangguhan penganjuran acara, menghadkan kunjungan dan latihan luar negara, penjimatan utiliti, mengoptimakan rizab simpanan agensi serta penangguhan pengisian jawatan bukan kritikal.
”Selaras dengan pengurusan kewangan negara yang bertanggungjawab, langkah pelarasan ini mengikut keutamaan penting untuk mewujudkan ruang fiskal.
”Ia bagi membolehkan pembiayaian bantuan dan subsidi bersasar untuk melindungi golongan dan sektor rentan yang terkesan daripada krisis bekalan global ini,” jelas MOF.
MOF akan terus berusaha secara proaktif dan sistematik untuk meningkatkan kecekapan perbelanjaan yang optima bagi memperkukuh daya tahan negara dalam berdepan krisis bekalan global yang dijangka memberi impak mendalam dan berpanjangan kepada ekonomi negara.
MOF juga komited untuk terus memperkukuh keupayaan tindak balas krisis menerusi pendekatan yang seimbang dengan memastikan perkhidmatan asas terus dibiayai, sokongan kepada ekonomi kekal mencukupi dan pada masa yang sama kedudukan kewangan negara kekal kukuh.