Kesedaran kanser sarkoma di Kelantan perlu dipertingkat

Majlis Perasmian Sarcoma Symposium 2026 di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II)

KOTA BHARU, 30 April – Tahap kesedaran masyarakat terhadap kanser sarkoma di Kelantan masih perlu dipertingkatkan bagi memastikan penyakit itu dapat dikesan lebih awal sebelum merebak ke tahap serius.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kesedaran meningkat berbanding tahun sebelumnya, tetapi pendedahan berterusan penting kerana sarkoma peringkat awal lazimnya tiada gejala.
  • Usaha meningkatkan kesedaran perlu melibatkan orang awam dan petugas kesihatan.
  • Kehadiran lewat ke fasiliti menyebabkan rawatan terhad apabila penyakit sudah merebak.
  • HRPZ II merekodkan lima kes dalam empat bulan pertama; tahun lalu 133 pembedahan termasuk teknik nitrogen cecair pada kanak-kanak.

Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Mohd Azman Yacob berkata, biarpun kesedaran mengenai penyakit itu menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya, pendedahan berterusan masih penting kerana kanser sarkoma pada peringkat awal lazimnya tidak menunjukkan gejala.

Menurut beliau, usaha meningkatkan kesedaran bukan sahaja perlu melibatkan orang awam, malah turut merangkumi petugas kesihatan.

“Yang kita khuatir apabila mereka datang lewat ke fasiliti kita dan pada masa itu apa sangat yang kita tawarkan kalau keadaannya sangat serius serta merebak ke sana sini.

“Sudah tentu perawatan yang boleh kita tawarkan adalah sangat terhad,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Perasmian Sarcoma Symposium 2026 di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini.

Bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini, sebanyak lima kes kanser sarkoma direkodkan di Kelantan.

Tahun lalu, HRPZ II melaksanakan 133 pembedahan berkaitan sarkoma termasuk satu kes membabitkan kanak-kanak berusia empat tahun yang menghidap kanser tulang osteosarkoma.

Pesakit berkenaan, Nik Muhammad Hazim Fayyadh Nik Mohamad Hafizul, mencipta sejarah sebagai pesakit kanak-kanak pertama di Malaysia menjalani pembedahan menggunakan teknik liquid nitrogen.

Sarkoma merupakan sejenis kanser yang berpunca daripada tisu penyambung badan seperti otot, lemak, saraf, saluran darah, tendon serta lapisan tulang sendi.