
BANGI, 30 April – Seramai 10 rakyat Malaysia dikenal pasti antara individu yang ditahan dan terputus hubungan selepas beberapa kapal flotila kemanusiaan ke Gaza dipintas serta diceroboh tentera Israel di perairan antarabangsa berhampiran Kepulauan Crete.
- Antara rakyat Malaysia terlibat: Zainal Rashid Ahmad, Osman Zolkifli, Dr Jihan Alya Mohd Nordin, Mohd Shamsir Mohd Isa dan lain-lain.
- MAPIM: 22 kapal membawa 186 individu terlibat; enam kapal melibatkan rakyat Malaysia termasuk Arkham III, Eros 1, Esplai, Bianca BCN, Freia, Marea.
- SNCC menyeru doa dan mendapatkan maklumat sahih melalui saluran rasmi; tiada pengesahan lanjut, usaha mendapatkan maklumat sedang giat dijalankan.
Antara rakyat Malaysia yang terlibat ialah Zainal Rashid Ahmad, Osman Zolkifli, Dr Jihan Alya Mohd Nordin, Mohd Shamsir Mohd Isa, Hazwan Hazim Dermawan, Mohd Hanafi Mohd Salim, Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Redzal Amzah dan Muhamad Muhsin Zaidi.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Datuk Dr Ahmad Sani Abdul Alim Araby, sebanyak 22 kapal yang membawa 186 individu terlibat dalam insiden berkenaan.
Jelas beliau, enam daripada kapal tersebut disahkan melibatkan rakyat Malaysia iaitu Arkham III, Eros 1, Esplai, Bianca BCN, Freia dan Marea.
“Kesemua kapal telah dipintas, diceroboh dan kini terputus komunikasi dengan pusat kawalan,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam perkembangan sama, Sekretariat Sumud Nusantara Command Center (SNCC) menyeru rakyat Malaysia agar terus mendoakan keselamatan semua delegasi misi serta mendapatkan maklumat sahih melalui saluran rasmi yang disediakan.
Setakat ini, tiada pengesahan lanjut mengenai keadaan terkini semua yang terlibat, dan usaha mendapatkan maklumat sedang giat dijalankan.