
Ketua Setiausaha KESUMA Datuk Azman Mohd Yusof /Foto KESUMA
KUALA LUMPUR, 30 April – Kebajikan, kemahiran dan perlindungan sosial pekerja terus menjadi keutamaan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam memastikan tenaga kerja negara kekal berdaya saing dan bersedia mendepani cabaran ekonomi semasa.
- Kementerian komited memperkasa pekerja melalui dasar responsif, peningkatan kemahiran dan pengukuhan perlindungan sosial selaras keperluan pasaran.
- Memastikan kebajikan dan faedah pekerjaan diperoleh oleh pekerja, khususnya ketika negara berdepan cabaran ekonomi global.
- Kerajaan laksana gaji minimum, dasar gaji progresif dan penyediaan institusi latihan kemahiran untuk tingkatkan kebajikan serta produktiviti.
- Jabatan Tenaga Kerja (JTKM) sediakan Advanced Technology Training Centre bagi memahirkan pekerja dalam kemahiran teknologi baharu.
Ketua Setiausaha KESUMA Datuk Azman Mohd Yusof berkata, kementerian komited memperkasa golongan pekerja menerusi pelaksanaan dasar yang responsif, peningkatan kemahiran serta pengukuhan perlindungan sosial selaras dengan keperluan pasaran buruh semasa.
Beliau berkata, usaha itu penting bagi memastikan kesejahteraan pekerja terus terpelihara, khususnya ketika negara berdepan cabaran ekonomi global yang semakin dinamik.
“Pertamanya, bukan sahaja apa yang disampaikan oleh pekerja tadi, tetapi kita juga kena pastikan kebajikan pekerja. Kita juga kena pastikan faedah-faedah pekerjaan itu diperoleh oleh pekerja berkenaan.
“Dalam masa sama, bagaimana kita mahu pastikan mereka dapat meningkatkan produktiviti, kita kena jaga dari segi kemahiran. Jadi semua yang saya nyatakan tadi berada dalam dasar-dasar yang diputuskan oleh kerajaan untuk dilaksanakan,” katanya dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia (SPM) di Angkasapuri Kota Media menjelang sambutan Hari Pekerja esok.
Beliau berkata kerajaan menyediakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan kebajikan dan produktiviti pekerja termasuk pelaksanaan gaji minimum, dasar gaji progresif serta penyediaan institusi latihan kemahiran.
Katanya, Jabatan Tenaga Kerja Malaysia (JTKM) turut menyediakan Advanced Technology Training Centre (ATTC) bagi memastikan pekerja terus mempelajari kemahiran baharu selaras dengan keperluan semasa pasaran kerja.
Kemuncak Sambutan Hari Pekerja 2026 yang bertemakan “Pekerja MADANI Kesuma Bangsa” itu akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Arena Unifi, Bukit Jalil esok.
Dijangka lebih 15,000 tenaga kerja daripada pelbagai sektor termasuk kesatuan sekerja, badan berkanun serta sektor awam dan swasta akan menyertai sambutan itu.