
KUALA LUMPUR, 30 April – Kementerian Kesihatan (KKM) mengarahkan audit struktur dan digital secara menyeluruh dilaksanakan ke atas Hospital Ampang susulan gangguan sistem dan isu infrastruktur, dengan keselamatan pesakit kekal sebagai keutamaan yang tidak boleh dikompromi.
- Gangguan eHIS disebabkan ralat penyelenggaraan; pasukan teknikal sahkan integriti data dan Pelan Kesinambungan Perkhidmatan diaktifkan untuk penjagaan manual.
- Projek penggantian mesin imbasan CT hampir siap dan dijangka mula beroperasi menjelang 1 Mei di bawah model pajakan baharu.
- KKM menyemak semula protokol perolehan bagi mengelakkan kelompangan semasa proses peralihan akan datang.
- Kebocoran di kompleks bilik bedah diperbaiki; pensterilan, pembersihan terminal dan audit partikel udara dijalankan, operasi OT hanya selepas pematuhan kawalan infeksi 100 peratus.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad menerusi hantaran di laman sosial platform X, memaklumkan langkah itu penting bagi menangani punca asas melibatkan kemudahan fasiliti yang semakin berusia, di samping memastikan operasi hospital kembali normal dalam kadar segera.
“Gangguan Sistem Maklumat Hospital (eHIS) berpunca daripada ralat penyelenggaraan teknikal yang menjejaskan modul sistem.
“Pasukan teknikal sedang menjalankan penyelarasan sistem serta pengesahan integriti data. Pelan Kesinambungan Perkhidmatan (BCP) turut diaktifkan bagi memastikan penjagaan klinikal diteruskan secara manual tanpa gangguan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan projek penggantian mesin imbasan CT kini di peringkat akhir dan dijangka mula beroperasi menjelang 1 Mei, susulan peralihan kepada model pajakan baharu.
KKM juga sedang menyemak semula protokol perolehan bagi mengelakkan sebarang kelompangan semasa proses peralihan pada masa hadapan.
Mengulas isu integriti infrastruktur, Dzulkefly berkata kebocoran di kompleks bilik bedah (OT) melibatkan paip air dalam sistem pengudaraan telah dibaiki, namun proses pensterilan mandatori, pembersihan terminal serta audit partikel udara sedang dijalankan.
“Tiada kompromi. Bilik bedah hanya akan dibenarkan beroperasi semula selepas pematuhan kawalan infeksi disahkan 100 peratus,” katanya lagi.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan Hospital Ampang atas dedikasi dan ketabahan mereka dalam memastikan perkhidmatan kesihatan terus berjalan dalam situasi mencabar.