105 pesalah jalani khidmat masyarakat di tujuh negeri

Perintah menjalani kerja pembersihan  di bawah pemantauan pegawai penguat kuasa sedang dijalankan di Putrajaya/Foto SWCorp

PUTRAJAYA, 30 April – Seramai 105 pesalah di seluruh negara diperintah menjalani Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) yang dilaksanakan serentak di tujuh negeri, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program PKM dilaksanakan di lokasi utama di Pahang, Perlis, Kedah, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Johor dan Melaka.
  • SWCorp menegaskan PKM bukan sekadar hukuman tetapi instrumen penting membentuk kesedaran dan tanggungjawab sivik terhadap kebersihan awam.
  • Bagi memperkukuh penguatkuasaan, SWCorp akan menambah 42 pegawai baharu yang dijadual melapor diri pada 4 Mei.

Daripada jumlah itu, 59 adalah pesalah baharu manakala 46 lagi pesalah berulang.

Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) berkata program itu dilaksanakan di beberapa lokasi utama di Pahang, Perlis, Kedah, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Johor dan Melaka.

Sementara itu di Putrajaya, empat pesalah menjalani kerja pembersihan di Presint 2 di bawah pemantauan pegawai penguat kuasa.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Khalid Mohamed, pelaksanaan PKM itu untuk meningkat kesedaran terhadap kepentingan kebersihan awam.

“PKM bukan sekadar hukuman, sebaliknya instrumen penting dalam membentuk kesedaran dan tanggungjawab sivik masyarakat terhadap kebersihan awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sejak 1 Januari lalu, seramai 130 penjawat awam telah dikenakan Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK), sekali gus mencerminkan ketidakpatuhan terhadap peraturan kebersihan merentasi pelbagai peringkat.

Bagi memperkukuh keupayaan penguatkuasaan, SWCorp akan menambah 42 pegawai baharu yang dijadual melapor diri pada 4 Mei ini.