Ziarah Kasih dekati anak autistik di Kuala Perlis

FOTO RTM

KUALA PERLIS, 30 April – Program Ziarah Kasih Sinar Syurga Anak Autisme dilaksanakan bagi mendekati serta memahami keperluan anak-anak istimewa di Tabika Tunas Istimewa KEMAS Kuala Perlis.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tabika berkenaan menjadi perintis pengajaran anak istimewa di Parlimen Kangar, bermula awal tahun ini dengan lapan pelajar.
  • Inisiatif membolehkan NGO kenal pasti keperluan anak istimewa, memberi sokongan moral dan maklumat pendidikan autisme oleh guru terlatih kepada ibu bapa.
  • Dua lagi Tabika Tunas Istimewa dijangka dibuka di Arau dan Padang Besar tahun depan, setiap satu kapasiti maksimum 14 pelajar.

Tabika berkenaan menjadi perintis bagi pengajaran dan pembelajaran anak-anak istimewa di Parlimen Kangar dan mula beroperasi sejak awal tahun ini dengan lapan pelajar.

Menurut Penyelaras Program, Abdullah Asyraf Rizal, inisiatif tersebut membolehkan pertubuhan bukan kerajaan mengenal pasti keperluan sebenar anak-anak istimewa.

“Program ini turut berperanan sebagai sokongan moral kepada pihak KEMAS dalam usaha mendidik anak-anak istimewa, di samping menjadi medium penyampaian maklumat kepada ibu bapa berkaitan pendidikan khusus autisme oleh guru terlatih.

“Penubuhan Tabika Tunas Istimewa mengambil kira keupayaan ekosistem pendidikan KEMAS dalam menawarkan pendidikan khas.

“Sebelum ini, ibu bapa yang mempunyai anak autisme terpaksa menghantar mereka ke tabika luar KEMAS dengan bayaran tinggi, sekali gus membebankan kewangan keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Ziarah Kasih Sinar Syurga Anak Autisme di Tabika Tunas Istimewa KEMAS Kuala Perlis.

Dalam perkembangan sama, dua lagi Tabika Tunas Istimewa KEMAS dijangka dibuka di Arau dan Padang Besar tahun depan dengan kapasiti maksimum 14 pelajar bagi setiap tabika.

Program tersebut dilaksanakan oleh Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung, Kelab Belia Perpaduan Bandar Kangar dan Persatuan Sukarelawan Kasih Kangar dengan kerjasama Synar Setara Resources Sdn Bhd serta Puncak Amal Enterprise.