
PUTRAJAYA, 30 April – Pengguna media sosial berusia bawah 16 tahun bakal berdepan sekatan untuk membuka akaun baharu susulan langkah kerajaan memperkenalkan mekanisme pengesahan umur yang kini di peringkat akhir penelitian.
- Mekanisme pengesahan umur akan guna dokumen rasmi seperti MyKad, pasport dan MyDigital ID melalui eKYC.
- MCMC hampir selesai perbincangan dengan platform media sosial dan akan umum tarikh penguatkuasaan.
- MCMC meneliti kaedah antarabangsa termasuk model Australia untuk pilih mekanisme terbaik di Malaysia.
- Kerajaan menyasarkan platform laksanakan eKYC menjelang akhir suku kedua 2026; Anwar seru pendekatan menyeluruh dengan penglibatan semua pihak.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hampir memuktamadkan mekanisme itu bagi menguatkuasakan had umur minimum 16 tahun.
Beliau berkata, mekanisme berkenaan akan melibatkan penggunaan dokumen rasmi seperti MyKad, pasport dan MyDigital ID menerusi kaedah electronic Know Your Customer (e-KYC).
“Hasratnya adalah proses verifikasi umur akan manfaatkan MyKad, pasport dan juga MyDigital ID bagi tujuan pengesahan umur.
“Jadi saya difahamkan pihak MCMC hampir selesai proses dengan platform-platform media sosial. Saya akan dapat sedikit maklumat daripada MCMC sebelum kita umumkan tarikh penguatkuasaan bagi mengehadkan pembukaan akaun baharu,” katanya selepas merasmikan Program Jom Baca Bersama peringkat Kementerian Komunikasi 2026 bertemakan ‘Membaca Membina Bangsa’ di sini hari ini.
Katanya, MCMC turut meneliti kaedah pengesahan umur yang dilaksanakan di peringkat antarabangsa termasuk di Australia bagi memastikan mekanisme terbaik dapat diguna pakai di Malaysia.
Sebelum ini, Fahmi berkata kerajaan menyasarkan setiap platform media sosial melaksanakan pengesahan eKYC menjelang akhir suku kedua 2026, bagi menguatkuasakan had umur minimum 16 tahun untuk pembukaan akaun.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor berkata cadangan pelaksanaan had umur bagi penggunaan media sosial dalam kalangan remaja perlu dilihat secara menyeluruh dengan penglibatan semua pihak.