144 premis penginapan di Semporna beroperasi tanpa lesen

Grafik RTM

KOTA KINABALU, 30 April – Sebanyak 144 premis penginapan di Semporna dikesan beroperasi tanpa lesen sah, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.

RINGKASAN BERITA AI
  • Majlis Daerah Semporna mengenal pasti 190 premis penginapan termasuk hotel, resort dan chalet di daerah itu.
  • Daripada 68 premis perairan, hanya sembilan mempunyai lesen manakala 59 beroperasi tanpa lesen.
  • Daripada 122 premis di daratan, hanya 37 mempunyai lesen manakala 85 beroperasi secara haram.

Beliau berkata, hasil pemantauan Majlis Daerah Semporna mendapati sebanyak 190 premis penginapan termasuk hotel, resort dan chalet dikenal pasti beroperasi di daerah itu.

Daripada jumlah itu, katanya, 68 premis terletak di kawasan perairan termasuk pulau-pulau, namun hanya sembilan premis memiliki lesen sah manakala 59 lagi didapati beroperasi tanpa lesen.

“Bagi kawasan daratan pula, daripada 122 premis penginapan yang dikenal pasti, hanya 37 premis mempunyai lesen sah manakala 85 premis lagi beroperasi secara haram,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-17, hari ini.

Mohd Arifin berkata, susulan itu program libat urus bersama pengusaha akan dilaksanakan.

Program itu bagi memberi pendedahan mengenai proses permohonan lesen operasi, kebenaran merancang serta kelulusan pelan pembangunan dan bangunan.