Skim Teksi Rentas Sempadan Malaysia–Singapura diperluas mulai 4 Mei

Gambar hiasan./foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 30 April – Skim Teksi Rentas Sempadan antara Malaysia dan Singapura diperluas bermula 4 Mei ini apabila teksi berlesen kini dibenarkan menghantar penumpang ke lebih banyak lokasi di kedua-dua negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Teksi berlesen dibenarkan menghantar penumpang ke mana-mana lokasi di Singapura dan ke beberapa kawasan utama di Johor seperti Johor Bahru.
  • Pengambilan penumpang di negara asing hanya dibenarkan di tiga lokasi tertentu melalui tempahan aplikasi e-hailing.
  • Kuota teksi rentas sempadan ditambah 100 setiap negara kepada 300 awal, dengan sasaran peningkatan berperingkat ke 500.
  • Tambang maksimum ditetapkan di terminal; semua teksi perlu identiti khas, peranti pengesanan dan umur kenderaan tidak melebihi 10 tahun.

Antara perubahan utama ialah teksi berlesen kini boleh menghantar penumpang ke mana-mana lokasi di Singapura, selain beberapa kawasan di Johor termasuk Johor Bahru, Iskandar Puteri, Forest City, Kulai dan Senai.

Kementerian Pengangkutan Malaysia dan Singapura dalam kenyataan bersama memaklumkan penambahbaikan itu dibuat susulan persetujuan yang dicapai semasa Retreat Pemimpin Singapura–Malaysia ke-12 pada Disember lalu.

Menurut kenyataan itu, teksi masih dibenarkan mengambil penumpang di negara asal masing-masing tanpa sekatan seperti amalan semasa.

“Bagaimanapun, di negara asing, pengambilan penumpang hanya dibenarkan di tiga lokasi tertentu melalui tempahan aplikasi e-hailing.

“Perkhidmatan teksi jalanan dan tempahan aplikasi di Terminal Ban San Street serta Terminal Larkin pula kekal dibenarkan seperti sebelum ini,” menurut kenyataan tersebut.

Dalam pada itu, kedua-dua negara turut bersetuju menambah kuota teksi rentas sempadan sebanyak 100 buah setiap negara, menjadikan jumlah keseluruhan 300 teksi bagi setiap negara pada peringkat awal, berbanding 200 sebelum ini.

Kuota itu disasarkan meningkat secara berperingkat kepada 500 teksi.

Selain itu, tambang maksimum ditetapkan antara SGD80 hingga SGD180 di Terminal Ban San Street, manakala di Terminal Larkin antara RM240 hingga RM540, bergantung kepada jenis kenderaan.

Semua teksi rentas sempadan juga diwajibkan mempunyai identiti khas, dilengkapi peranti pengesanan, serta tidak melebihi usia 10 tahun.

Langkah tersebut bertujuan memperkemas perkhidmatan pengangkutan rentas sempadan agar lebih selamat, cekap dan berdaya saing, di samping melindungi pemandu tempatan daripada perkhidmatan tidak sah.

Ketua Eksekutif Penguasa Pengangkutan Darat Singapura, Ng Lang, dan Ketua Pengarah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Ahmad Radhi Maarof, menyifatkan penambahbaikan itu sebagai langkah penting memperkukuh hubungan pengangkutan dua hala Malaysia–Singapura.