
MERSING, 30 April – Dua anggota tentera ditahan bagi membantu siasatan kes seorang anggota tentera cedera parah, termasuk retak tengkorak dalam kejadian di Kem Iskandar di sini.
- Sebatang rotan kira-kira 72 sentimeter dirampas, disyaki digunakan sebagai senjata.
- Kedua-dua suspek tiada rekod jenayah lampau dan ujian air kencing negatif dadah.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan; kertas siasatan dirujuk kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad mengesahkan kedua-dua suspek berusia 24 tahun dari kem sama ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing pada 14 Mac lepas.
“Kita turut merampas sebatang rotan sepanjang kira-kira 72 sentimeter yang disyaki digunakan sebagai senjata,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Hasil semakan mendapati, kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing juga mendapati mereka negatif dadah.
Kes disiasat bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Kertas siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri pada Rabu lepas bagi mendapatkan arahan lanjut daripada Jabatan Peguam Negara.
Orang ramai diingatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau komen yang boleh mengganggu proses siasatan.
Terdahulu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tindakan sewajarnya terhadap anggota yang terbabit akan ditentukan berdasarkan hasil siasatan pihak berkuasa.
Media sebelum ini melaporkan mangsa, Abdul Hamid Talib, 25, yang berasal dari Bum Bum, Semporna, Sabah dan bertugas di Rejimen 22 Komando di Kem Iskandar tidak lagi mampu bercakap, serta terpaksa bergantung kepada alat bantuan pernafasan.
Mangsa yang berusia 25 tahun kini dirawat di sebuah hospital di Kuala Lumpur.