
NILAI, 10 April – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan meneliti semula permohonan Geran Padanan Sukan (GPS) yang dikemukakan oleh Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) bagi penganjuran kejohanan antarabangsa yang dijadual berlangsung bulan ini.
- KBS menerima rayuan PKBM untuk menyemak semula jumlah Geran Padanan Sukan yang telah diluluskan.
- Penilaian lanjut akan dijalankan oleh jawatankuasa sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan dan diumumkan.
- Penyaluran geran akan mengambil kira skala dan kepentingan kejohanan, terutama jika bersifat antarabangsa.
- KBS kekal komited menyokong penganjuran sukan negara serta terbuka kepada pandangan dan rayuan persatuan.
Menterinya, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, pihaknya menerima rayuan daripada PKBM untuk menyemak semula jumlah geran yang diluluskan sebelum ini.
Sehubungan itu, satu penilaian lanjut akan dibuat di peringkat jawatankuasa sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan dan diumumkan dalam masa terdekat.
“Kita telah menerima rayuan daripada pihak persatuan untuk menilai semula jumlah Geran Padanan Sukan ini. Saya akan meneliti perkara ini bersama Ketua Setiausaha dan keputusan akan diumumkan kemudian,” menurutnya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Velodrom Nilai, hari ini sempena penganjuran Kejohanan Piala Dunia Trek yang akan berlangsung di Velodrom Nilai dari 24 hingga 26 April ini.
Mohammed Taufiq menjelaskan, penyaluran geran tersebut akan mengambil kira skala dan kepentingan sesuatu kejohanan, khususnya yang melibatkan penyertaan di peringkat antarabangsa.
“Jika kejohanan itu bersifat antarabangsa seperti Piala Dunia Trek, maka penyaluran geran perlu bersesuaian. Bagi kejohanan berskala nasional atau lebih kecil, jumlahnya juga akan disesuaikan,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan KBS kekal komited untuk menyokong sepenuhnya penganjuran sukan di negara ini serta terbuka terhadap sebarang pandangan dan rayuan daripada persatuan sukan.