BAC: Langkah Tang Jie-Ee Wei terhenti di suku akhir

Beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei./foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 April – Hasrat beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei untuk melangkah ke pentas separuh akhir tidak kesampaian apabila terkandas di peringkat suku akhir Kejohanan Badminton Asia (BAC), hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tang Jie-Ee/Toh Ee Wei tewas kepada gandingan Korea Kim Jae Hyeon-Jang Ha Jeong di suku akhir.
  • Mereka bergelut mengawal gelanggang dan rentak serangan, sering ketinggalan sepanjang perlawanan.
  • Kekalahan menutup peluang Malaysia untuk melihat beregu campuran mara lebih jauh dalam kejohanan.

Pasangan ranking keempat dunia itu tewas menentang gandingan Korea Selatan, Kim Jae Hyeon-Jang Ha Jeong yang menghuni tangga ke-147 dunia dalam aksi yang berlangsung di Pusat Sukan Olimpik Ningbo.

Tang Jie-Ee Wei yang turun selaku pilihan keempat kejohanan dilihat bergelut untuk mencari rentak permainan apabila sering ketinggalan dari segi kawalan gelanggang dan rentak serangan.

Mereka memulakan set pertama dengan kurang meyakinkan sebelum tumpas tipis 19-21.

Kebangkitan yang diharapkan pada set kedua tidak menjadi kenyataan apabila pasangan Korea Selatan itu terus mendominasi perlawanan.

Walaupun cuba merapatkan jurang mata, pasangan negara terpaksa akur apabila lawan menoktahkan kemenangan 21-17.

Kekalahan itu sekali gus menutup peluang Malaysia untuk melihat wakil beregu campuran mara lebih jauh dalam kejohanan berkenaan.

Sementara itu, Kim-Jang dijadualkan menentang wakil Jepun, Yuta Watanabe-Maya Taguchi di peringkat separuh akhir selepas gandingan itu menewaskan Yang Po-Hsuan-Hu Ling Fang dari Taiwan, 26-24, 21-16.