
KUALA LUMPUR, 10 April – Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menepis persepsi bahawa saingan berprestij, Piala Malaysia, semakin hilang ‘seri’ dan kurang mendapat sambutan peminat bola sepak tempatan.
- Kehadiran penonton melonjak, Stadium Bandaraya penuh untuk aksi Penang menentang Sabah dan perlawanan Selangor vs Kuching City turut mendapat sambutan.
- Jualan tiket separuh akhir di Kuching sangat memberangsangkan, dijangka memindahkan keterujaan penyokong ke Sarawak.
- JDT sudah mengesahkan tempat di final selepas membelasah Kuala Lumpur City dengan agregat 8-1.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd menegaskan, lonjakan kehadiran penonton dalam beberapa aksi terkini menjadi bukti sahih bahawa kehangatan piala tertua di Asia itu masih membara.
“Kehadiran penonton yang mencecah kapasiti penuh di Stadium Bandaraya bagi aksi Penang FC menentang Sabah FC, disusuli sambutan menggalakkan dalam pertemuan Selangor FC dan Kuching City FC sehari selepas itu, jelas mencerminkan momentum positif.
“Kami menjangkakan fenomena serupa akan berulang dalam perlawanan-perlawanan akan datang,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Shazli menjangkakan kemuncak keterujaan penyokong bakal beralih ke Sarawak bagi aksi separuh akhir kedua di Kuching, berdasarkan laporan jualan tiket yang sangat memberangsangkan.
Jelas beliau, maklum balas daripada pihak Kuching City FC menunjukkan rentak jualan tiket bagi saingan separuh akhir jauh lebih rancak berbanding perlawanan liga biasa, sekali gus membuktikan prestij Piala Malaysia mempunyai tarikan tersendiri.
Mengikut jadual, Kuching City FC bakal melayani kunjungan Selangor FC pada 18 April ini untuk menentukan slot ke perlawanan akhir.
Sementara itu, gergasi selatan, Johor Darul Ta’zim (JDT), sudah lebih awal mengesahkan tempat di pentas final selepas membenam Kuala Lumpur City FC dengan agregat besar 8-1.