
LONDON, 10 April – Bekas juara heavyweight dunia, Tyson Fury melaungkan amaran kepada lawannya, Arslanbek Makhmudov menjelang pertembungan mereka di Stadium Tottenham Hotspur, Sabtu ini.
- Tyson Fury melaungkan amaran, dakwa berada pada tahap terbaik dan bertekad menjatuhkan Arslanbek Makhmudov.
- Fury mahu terus mendominasi divisyen heavyweight dan memberi amaran kepada semua pemegang tali pinggang dunia.
- Makhmudov nyatakan tidak gentar, yakin telah dipersiapkan serta pengalaman bantu kawal emosi menghadapi cabaran.
Fury menegaskan beliau berada pada tahap terbaik tanpa sebarang kecederaan dan sudah membuat persiapan rapi, sekali gus bertekad menjadikan Makhmudov sebagai “contoh” di gelanggang.
Menurutnya, kemampuan fizikal dimiliki lawannya itu tidak akan memberi sebarang kelebihan, malah beliau yakin mampu menumbangkan Makhmudov dengan kemenangan bergaya.
“Saya bersimpati dengannya kerana dia perlu berdepan Tyson Fury yang berada dalam prestasi terbaik. Dia tidak akan mampu mengelak dan saya akan menjatuhkannya,” katanya.
Dalam masa sama, Fury turut memberi bayangan mahu terus mendominasi divisyen heavyweight, sambil memberi amaran kepada semua pemegang tali pinggang dunia bahawa mereka akan menjadi sasaran seterusnya.
Beliau mendakwa statusnya sebagai petinju paling bernilai dalam sukan itu menjadikan mana-mana pertarungan melibatkannya sebagai tumpuan utama, termasuk dengan sokongan platform penstriman Netflix.
Sementara itu, Makhmudov menegaskan beliau tidak gentar berdepan Fury.
“Saya tidak berasa tertekan kerana percaya telah dipersiapkan untuk detik ini sejak sekian lama, malah pengalaman dalam pertembungan sebelum ini membantu saya mengawal emosi dan bersedia menghadapi cabaran terbesar dalam karier,” katanya. – REUTERS