TFC tempang tanpa sembilan tonggak hadapi JDT

Pemain TFC, Yan Mabella (kanan) masih belum pasti dapat diturunkan dalam aksi Liga Super menentang JDT, esok./foto BERNAMA

KUALA NERUS, 10 April – Terengganu FC (TFC) bakal berdepan tugas berat apabila terpaksa turun tanpa sembilan pemain tonggak dalam aksi Liga Super menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, esok.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penggantungan, kecederaan serta kekangan kontrak menyebabkan beberapa tonggak utama TFC tidak dapat diturunkan.
  • Yan Mabella sudah kembali berlatih tetapi belum capai tahap kecergasan untuk beraksi.
  • TFC tidak akan bertahan sepenuhnya; fokus elak kesilapan mudah dan menghindari kekalahan besar.

Pemangku Ketua Jurulatih TFC, Tengku Hazman Raja Hassan mendedahkan skuad kendaliannya kini dihimpit masalah penggantungan pemain, kecederaan serta kekangan kontrak pinjaman melibatkan pemain utama.

Jelas beliau, ketiadaan pemain berpengalaman tersebut pastinya menjejaskan perancangan taktikal TFC dalam usaha menyaingi kehebatan skuad bimbingan Xisco Munoz.

“Tiga pemain pertahanan iaitu Alif, Saiful dan Safwan tidak dapat diturunkan ekoran penggantungan perlawanan. Sementara itu, Akhyar Rashid, Baqiuddin dan Shervoni masih dibelenggu kecederaan selepas pulang daripada tugasan skuad kebangsaan.

“Penyerang import, Yan Mabella pula sudah kembali menjalani latihan, namun beliau belum mencapai tahap kecergasan sepenuhnya untuk beraksi,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai status Haqimi Azim dan Azam Azmi, Tengku Hazman menjelaskan kedua-dua pemain itu terikat dengan perjanjian pinjaman daripada JDT.

“Haqimi dan Azam terikat dengan kontrak kelab asal (JDT). Bagaimanapun, kami telah mengemukakan permohonan rasmi kepada pihak JDT untuk mendapatkan kebenaran khas bagi membolehkan mereka beraksi Sabtu ini memandangkan pasukan kini ketiadaan ramai pemain,” tambah beliau.

Meskipun turun dengan skuad tempang, Tengku Hazman menegaskan TFC tidak akan menggunakan taktik bertahan sepenuhnya di hadapan gawang menentang juara Liga Super 12 kali berturut-turut itu.

Beliau sebaliknya mengingatkan anak buahnya supaya mengekalkan fokus tinggi dan mengelakkan kesilapan mudah bagi mengelak gawang dibolosi awal oleh jentera serangan Harimau Selatan.

“Kami akan cuba sehabis baik dengan barisan pemain yang ada. Fokus utama adalah untuk mengelakkan kekalahan besar seperti pusingan pertama di Gong Badak tahun lalu.

“Selepas tempoh rehat yang panjang, saya berharap pemain dapat memberikan persembahan terbaik dan tidak dihukum oleh lawan akibat kesilapan sendiri,” tegasnya. – BERNAMA