Hakim Danish mula musim baharu dengan aksi meyakinkan di GP Thailand

Hakim Danish layak ke Q2, bermula dari barisan kelima di GP Thailand

THAILAND, 28 Februari – Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli memulakan kempen musim baharu dengan aksi memberangsangkan apabila melayakkan diri ke sesi kelayakan kedua (Q2) pada pusingan pembukaan Kejuaraan Motosikal Dunia, Grand Prix (GP) Thailand hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hakim Danish tampil memberangsangkan selepas memimpin Q1 dengan masa terbaik 1:41.476, menunjukkan tempo kompetitif.
  • Dalam Q2, beliau catat 1:41.761 dan layak memulakan perlumbaan dari barisan kelima, kedudukan ke-15.
  • David Almansa raih petak utama dengan 1:40.088, ditemani Alvaro Carpe dan Adrian Fernandez di barisan hadapan.
  • GP Thailand ialah musim penuh pertama Hakim Danish dalam kelas elit selepas penampilan wildcard cemerlang tahun lalu.

Beraksi di Litar Antarabangsa Chang, pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSI itu terlebih dahulu mencuri tumpuan apabila muncul terpantas dalam sesi kelayakan pertama (Q1) dengan catatan masa 1 minit 41.476 saat.

Momentum positif itu diteruskan dalam Q2 apabila pelumba berusia 18 tahun berkenaan merekodkan masa 1:41.761 saat untuk menamatkan sesi di kedudukan ke-15 sekali gus bakal memulakan perlumbaan dari barisan kelima.

Petak utama perlumbaan menjadi milik pelumba Liqui Moly Dynavolt Intact GP, David Almansa yang mencatat masa terpantas 1:40.088 saat.

Beliau akan ditemani Alvaro Carpe dari Red Bull KTM Ajo dan Adrian Fernandez dari Leopard Racing di barisan hadapan.

Sementara itu, rakan sepasukan Hakim Danish, Ryusei Yamanaka akan memulakan saingan dari petak ketujuh.

Terdahulu pada sesi latihan bebas semalam, Hakim Danish mencatat masa 1:42.584 saat sebelum memperbaiki catatan kepada 1:42.084 saat pada sesi latihan sebelah petang.

GP Thailand menandakan musim penuh pertama Hakim Danish dalam saingan elit dunia selepas mencuri perhatian musim lalu menerusi penampilan wildcard di Grand Prix Malaysia.