Sukan SEA 2027: KBS pastikan tiada masalah logistik berlaku

Dr Mohammed Taufiq Johari. Foto/Bernama

KUALA LUMPUR, 28 Februari – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memastikan tiada masalah logistik berlaku sepanjang penganjuran temasya Sukan SEA 2027 yang bakal dianjurkan di empat kluster iaitu Sarawak, Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur.

RINGKASAN BERITA AI
  • KBS akan atur gerak logistik untuk Sukan SEA 2027 merentas empat kluster bagi pastikan penganjuran berjalan lancar.
  • KBS mengadakan perbincangan berterusan dengan MASOC dan sudah memasuki Fasa 1 persiapan atlet dan fasiliti.
  • Mesyuarat lanjut dengan MASOC akan menentukan persiapan akhir termasuk pengumuman team, maskot dan perkembangan lain.
  • Harapan agar isu lain seperti kes pemain FAM tidak menjejaskan fokus pembangunan bola sepak negara.

Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata walaupun perkara itu akan menjadi antara cabaran terbesar, KBS akan memastikan ia dapat diatur gerak dengan baik.

“Beberapa siri perbincangan dengan Sekretariat Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC) telah dibuat dan mereka juga bekerja dengan baik. Kita sekarang sudah masuk Fasa 1, yang mana melibatkan persiapan atlet dan fasiliti.

“Kita akan adakan mesyuarat dengan MASOC untuk tentukan secara akhir berkenaan persiapan dan ia akan diumumkan dari semasa ke semasa berkaitan perkembangan Sukan SEA termasuk team, maskot dan lain-lain,” katanya.

Terdahulu, Dr Mohammed Taufiq yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani turun padang bagi program Jelajah Rakan Muda @ Program Sahur Rakan Muda bagi menyantuni dan mengagihkan makanan sahur kepada anggota polis, bomba dan hospital di sekitar Alor Setar.

Dalam perkembangan lain, Dr Mohammed Taufiq berkata Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu kekal fokus membuat persiapan bagi aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 31 Mac depan, walaupun masih sedang menunggu keputusan rayuan kes tujuh pemain warisan Harimau Malaya di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Beliau juga berharap apa juga keputusan yang bakal diterima kelak tidak akan memberi kesan yang dalam terhadap pembangunan bola sepak negara.

“Kita masih sedang menunggu (keputusan), buat masa ini belum ada kenyataan bertulis lagi, tetapi apa juga keputusan yang dibuat nanti, harap itu yang terbaik..keputusan itu penting kerana ia sedikit sebanyak akan mempengaruhi pembangunan bola sepak kita, jadi saya harap ia dapat diselesaikan dengan segera.

“Saya juga berharap agar penyokong bola sepak tanah air tenang menunggu keputusan dan jangan membuat sebarang spekulasi kerana ia boleh mengganggu fokus pasukan kebangsaan,” katanya. -Bernama