Rwanda bakal tuan rumah F1

Grand Prix Formula 1 Monaco/ AFP

KUALA LUMPUR, 10 Oktober – Rwanda dilaporkan bakal menjadi tuan rumah perlumbaan Grand Prix Formula 1 (F1), sekali gus membuka laluan kepada kepulangan sukan permotoran berprestij itu ke benua Afrika selepas beberapa dekad.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rwanda dan FIA masih belum mengumumkan keputusan secara rasmi.
  • Sumber kerajaan menyatakan bidaan Rwanda telah diluluskan dengan persetujuan pihak berkaitan.
  • Pengumuman rasmi dijangka di Kigali minggu depan, dengan sokongan Qatar.
  • Lewis Hamilton menyokong usaha itu; penganjuran bermakna kemungkinan kembalinya F1 ke Afrika sejak 1993 jika disahkan.

Menurut laporan pada Khamis, keputusan itu dimaklumkan sumber kerajaan Rwanda dan individu yang rapat dengan badan induk sukan permotoran dunia, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA).

Bagaimanapun, Rwanda dan FIA masih belum mengumumkan keputusan itu secara rasmi.

Menurut sumber kerajaan Rwanda, bidaan negara itu untuk menjadi tuan rumah perlumbaan F1 telah diluluskan, dengan persetujuan dicapai antara pihak berkaitan.

Sementara itu, sumber yang rapat dengan FIA pula memaklumkan bahawa pengumuman rasmi dijangka dibuat di ibu negara Kigali minggu depan, dengan Qatar turut menyokong projek berkenaan.

Rwanda telah sekian lama berusaha membawa perlumbaan F1 ke negara itu, selaras dengan strategi memanfaatkan acara sukan antarabangsa bagi meningkatkan imej negara serta menarik pelaburan asing.

Presiden Rwanda, Paul Kagame, secara rasmi mengumumkan bidaan negara itu ketika Rwanda menjadi tuan rumah perhimpunan FIA pada Disember 2024.

Ketika itu, Kagame menegaskan kepentingan menghormati semua pihak dan memberikan peluang kepada setiap individu untuk menyumbang mengikut kemampuan masing-masing.

Perkembangan itu juga dijangka mendapat perhatian juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton, yang sekian lama menyuarakan hasrat untuk melihat perlumbaan F1 kembali ke benua Afrika.

Pemandu Britain itu sebelum ini menyatakan sokongan terhadap rancangan Rwanda pada 2024, malah menyifatkan negara berkenaan sebagai antara destinasi kegemarannya.

Sekiranya disahkan secara rasmi, penganjuran itu bakal menjadi perkembangan penting buat F1, yang tidak mengadakan perlumbaan di benua Afrika sejak Grand Prix Afrika Selatan di Kyalami pada 1993.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.